Kadar keluar mengundi pengundi Cina jadi penentu nasib PH - Ilham Centre

Iklan
Kadar keluar mengundi pengundi Cina dijangka menjadi pemboleh ubah paling kritikal dalam menentukan prestasi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Gambar hiasan

SHAH ALAM – Kadar keluar mengundi pengundi Cina dijangka menjadi pemboleh ubah paling kritikal dalam menentukan prestasi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, menurut dapatan kajian lapangan ILHAM Centre.

Laporan itu menyatakan persaingan antara BN dan PH berlangsung dalam medan yang berbeza apabila BN memperoleh kelebihan di kawasan majoriti Melayu, manakala PH bergantung kepada kekuatan di kawasan majoriti Cina serta kawasan bandar dan separa bandar yang mempunyai kepadatan pengundi tinggi.

Iklan
Iklan

Menurut ILHAM Centre, pemboleh ubah yang menentukan prestasi kedua-dua gabungan juga berbeza.

Bagi BN, kestabilan sokongan pengundi Melayu menjadi asas kemenangan, manakala bagi PH, penentu utama ialah sejauh mana mereka mampu menggerakkan penyokong tradisi keluar mengundi.

Iklan

Di kawasan majoriti Melayu, dapatan lapangan menunjukkan sokongan penyokong Pas menjadi faktor yang mengukuhkan kedudukan BN di banyak kerusi.

Selepas perubahan landskap dalam blok pembangkang, sebahagian pengundi Pas tidak lagi melihat PN sebagai pilihan yang mempunyai prospek kemenangan.

Iklan

Keadaan itu menyebabkan berlaku kecenderungan sokongan taktikal kepada BN di beberapa kawasan yang sebelum ini menjadi medan persaingan sengit tiga penjuru, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan gabungan tersebut dalam kelompok pengundi Melayu.

Sebaliknya, cabaran terbesar PH tertumpu kepada kadar keluar mengundi pengundi Cina apabila kajian lapangan secara konsisten menunjukkan mood pengundi Cina yang tawar hati dengan prestasi PH telah mewujudkan suasana kempen yang hambar.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kalah atau menang PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri'

DAP tidak pernah pertikai hak Melayu, kerajaan adil pada semua kaum - PM

Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di PRN Negeri Sembilan

'Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor'

PH kini antagonis nombor satu PRN Johor?

PH tawar agenda pembangunan mampan, gilap potensi Johor - Amirudin

PKR serah senarai calon bagi PRN Negeri Sembilan - Aminuddin

Menurut laporan itu, keadaan tersebut bukan diterjemahkan kepada peralihan sokongan secara besar-besaran kepada BN, sebaliknya lebih kepada kecenderungan sebahagian pengundi untuk tidak keluar mengundi.

Walaupun ramai pengundi Cina masih melihat PH sebagai pilihan yang lebih dekat dengan kecenderungan politik mereka, tahap keterujaan untuk kembali mengundi didapati jauh lebih rendah berbanding semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ilham Centre menjelaskan faktor itu menyebabkan kadar keluar mengundi etnik Cina menjadi pemboleh ubah paling penting dalam menentukan keputusan di kawasan bandar dan separa bandar.

Kajian itu menunjukkan PH memerlukan kadar keluar mengundi sekurang-kurangnya 65 peratus bagi mengekalkan kelebihan di kerusi-kerusi tersebut.

Sekiranya peratusan keluar mengundi berada di bawah jangkaan, beberapa kerusi yang sebelum ini dianggap selesa berpotensi bertukar menjadi kerusi sengit atau beralih kepada BN.

Laporan itu turut merumuskan bahawa andaian keputusan PRU akan berulang secara automatik dalam PRN tidak berlaku kerana 'setting' pilihan raya negeri menghasilkan tingkah laku pengundi yang berbeza, khususnya dalam kalangan pengundi Cina.

Tanpa elemen keterujaan, isu besar atau gelombang nasional yang mampu menggerakkan penyokong keluar mengundi, PH dijangka berdepan kesukaran mengulangi prestasi seperti dicapai pada PRU15.