PRN Johor: Jarak bukan halangan anak Johor tunaikan tanggungjawab mengundi
Iklan
Jing Tong berkongsi pengalaman menghantar kertas undi pos ke Johor menjelang PRN Johor serta menzahirkan tekad untuk pulang menunaikan tanggungjawab mengundi demi menentukan masa depan negeri. - Foto: Bernama
JOHOR BAHRU - Perjalanan kertas undi pos milik Low Jing Tong bukan sekadar merentasi lautan, malah menjadi simbol kesungguhan seorang anak Johor mempertahankan hak demokrasinya walaupun berada lebih 8,000 kilometer dari kampung halaman.
Berada di Queenstown, New Zealand menerusi program cuti bekerja sejak tujuh bulan lepas, wanita berusia 31 tahun itu tidak menyangka Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan lebih awal daripada jangkaannya.
Iklan
Iklan
Sebaik permohonan undi pos dibuka, beliau terus mengemukakan permohonan kerana enggan melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Namun, kegembiraan menerima kertas undi pos pada 3 Julai lepas bertukar menjadi kebimbangan apabila beliau menyedari tempoh yang berbaki terlalu singkat untuk memastikan kertas undi itu tiba di Johor sebelum hari pengundian Sabtu ini.
Iklan
"Saya sangka penghantaran melalui pos boleh dilakukan tetapi selepas bertanya di pejabat pos, mereka memaklumkan tiada jaminan ia akan sampai tepat pada masanya walaupun menggunakan perkhidmatan ekspres yang menelan belanja sehingga NZ$170 (kira-kira RM430), manakala penghantaran biasa pula mengambil masa kira-kira seminggu," katanya ketika dihubungi Bernama.
Bimbang peluang mengundinya terlepas begitu sahaja, Jing Tong menghabiskan hampir dua jam di Lapangan Terbang Queenstown pada 5 Julai lepas dengan harapan dapat menemui rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dan sudi membantu membawa pulang kertas undinya, namun usahanya tidak berhasil.
Iklan
Bagaimanapun, usaha wanita itu tidak terhenti di situ. Dia kemudian berkongsi kisahnya di platform media sosial Xiaohongshu, yang berjaya menarik perhatian seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Auckland untuk menawarkan bantuan.
Walaupun tidak mengenali individu terbabit, Jing Tong nekad meletakkan kepercayaan kepadanya dan menghantar kertas undi itu ke Auckland sebelum dibawa pulang ke Malaysia serta diserahkan kepada rakannya di Kuala Lumpur.
"Orang itu telah sampai di Malaysia malam tadi (Rabu) dan menyerahkan undi pos kepada kawan saya sebelum dihantar ke Kluang. Saya begitu bersemangat walaupun hanya satu undi kerana saya percaya setiap undi ada maknanya," katanya.
Dia turut menyeru rakyat agar tidak mensia-siakan peluang mengundi kerana keputusan yang dibuat akan menentukan hala tuju negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Semangat sama turut dikongsi penjawat awam wanita, K.Yuvarany, 34, yang sanggup memandu hampir empat jam dari Putrajaya ke kampung halamannya di Kluang setiap kali pilihan raya.
"Sejak kecil lagi, ibu bapa saya memastikan semua anak pulang mengundi apabila tiba pilihan raya. Mengundi bukan sekadar hak, tetapi tanggungjawab kita untuk menentukan siapa yang akan memimpin Johor bagi tempoh lima tahun akan datang," katanya.
Yuvarany, yang akan mengundi di DUN Mengkibol berharap kerajaan negeri yang bakal dipilih mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal, mengawal kos sara hidup, memperkukuh sistem pendidikan serta memanfaatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) demi masa depan generasi muda.
Bagi mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Ernie Safika, 23, dan Uzma Humaira Mohamad Sharudin, 23, status sebagai pelajar bukan alasan untuk tidak pulang mengundi.
Ernie yang akan mengundi di DUN Bukit Permai berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang memilih kerajaan negeri kerana kesempatan itu hanya hadir sekali dalam tempoh lima tahun.
"Saya mahu melihat Johor terus berkembang dengan lebih banyak peluang pekerjaan yang menawarkan gaji berpatutan, kemudahan awam yang berkualiti serta kepimpinan yang lebih memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat," kata anak kelahiran Kulai itu.
Uzma Humaira, yang juga pengundi DUN Bukit Permai, pula berharap lebih ramai anak Johor yang belajar atau bekerja di luar negeri pulang menunaikan tanggungjawab mereka.
Menurutnya, PRN Johor kali ini merupakan pengalaman keduanya mengundi selepas Pilihan Raya Umum (PRU), sambil menyifatkan setiap undi mampu mempengaruhi hala tuju serta masa depan sesebuah negeri.
Seramai 2.7 juta pemilih dijangka menunaikan tanggungjawab pada PRN Johor ke-16 bagi memilih 56 wakil rakyat Sabtu ini. - Bernama
Program ternakan arnab di bawah inisiatif Sejati Madani di Kampung Sungai Muda yang bermula dengan hanya 50 ekor arnab dua tahun lalu, kini berkembang kepada 600 ekor, sekali gus membuka peluang kepada golongan asnaf menjana pendapatan, lapor wartawan Sinar Harian, Norafiza Jaafar.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Muda, Mohd Adli Othman berkata, projek itu menerima geran Sejati Madani berjumlah RM100,000 daripada Jabatan Perdana Menteri pada 2024.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/786841/edisi/johor/projek-ternakan-arnab-bantu-tingkat-taraf-hidup-asnaf
Muzik: Elevate dari www.bensound.com
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.