Doktrin ketenteraan baharu: Amaran tegas kepada musuh Iran

Iklan
Ribuan kapal terkandas di Selat Hormuz sejak laluan strategik itu menjadi titik ketegangan antara AS dan Iran.

SELAT Hormuz telah sekian lama diiktiraf sebagai laluan maritim paling strategik di dunia, sebuah koridor sempit yang menjadi laluan kepada hampir satu perlima daripada perdagangan minyak global setiap hari.

Selama beberapa dekad, cadangan untuk menutup Selat Hormuz sering dianggap sekadar strategi pencegahan iaitu 'satu kad' yang disimpan Teheran untuk menghalang campur tangan ketenteraan tanpa benar-benar berhasrat melaksanakannya.

Iklan
Iklan

Namun, keadaan itu berubah selepas berlakunya kempen pencerobohan dan provokasi melampau terhadap Iran.

Selepas berdepan kekalahan memalukan, Amerika Syarikat (AS) akhirnya akur untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang menyaksikan Selat Hormuz dibuka semula dengan bersyarat.

Iklan

Pada masa sama, Washington turut berjanji untuk menghentikan tindakan yang digambarkan sebagai ‘lanun’ dan ‘rompakan maritim’ di Teluk Parsi yang menjadi syarat utama dalam MoU bagi membolehkan perjanjian jangka panjang dicapai mengikut terma ditetapkan oleh Iran.

Dalam tempoh tidak sampai sebulan, AS melanggar kesepakatan awal itu melalui pelbagai tindakan provokatif yang menyebabkan situasi tidak menentu di Asia Barat.

Iklan

Presiden Donald Trump (kiri) kembali menggunakan kempen tekanan dan ugutan terhadap Teheran selepas memeterai MoU bersama rakan sejawatannya di Iran, Masoud Pezeshkian.

Janji kosong AS

Selepas tindakan pencerobohan terkini itu, satu sumber keselamatan mendedahkan Teheran secara rasmi telah mengubah strategi pertahanannya yang menetapkan sebarang serangan pada masa hadapan terhadap wilayah atau kepentingan Teheran akan memberi kesan secara langsung terhadap keselamatan Selat Hormuz.

Tindak balas tersebut bukan hanya bertujuan membalas serangan, tetapi juga satu isyarat nyata mengenai strategi baharu yang diumumkan ketika Pengebumian Negara Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei pada awal minggu lalu.

Taktik lama iaitu kedua-dua pihak saling membalas serangan secara terkawal di Teluk Parsi dikatakan telah berakhir dan kini digantikan dengan pendekatan yang lebih agresif.

Doktrin ketenteraan baharu itu mencerminkan perubahan besar dalam pendekatan Iran.

Jika sebelum ini Teheran lebih mengutamakan tindak balas terhad bagi menunjukkan ketegasan tanpa mencetuskan perang berskala besar, kini ia mengambil pendekatan tidak berkompromi yang akan memberi tekanan dan kos berganda kepada musuh.

Strategi tersebut berasaskan prinsip bahawa respons yang lebih tegas berupaya menjadi pencegah paling berkesan terhadap sebarang ancaman asing.

Perkembangan yang berlaku sepanjang tempoh 48 jam lalu telah mengukuhkan pendirian Teheran dengan begitu jelas, sekali gus meletakkan Washington berdepan satu lagi pilihan sukar yang boleh membawa impak besar terhadap pasaran tenaga global dan kestabilan serantau.

Speaker Parlimen Iran yang juga Ketua Perunding, Mohammad Baqer Qalibaf menerusi catatan di platform X pada Rabu menyenaraikan beberapa pelanggaran ketara dibuat AS.

Antaranya ialah campur tangan di Selat Hormuz, ancaman serangan baharu, pelaksanaan semula sekatan minyak, serangan ke atas selatan Teheran dan kempen pencerobohan berterusan Israel terhadap Lubnan.

Menurut kepimpinan Iran, ketidakpatuhan yang disengajakan itu jelas menunjukkan bahawa AS sememangnya tidak boleh dipercayai dan segala komitmen yang diberikan hanyalah janji kosong.

Keadaan itu menyebabkan usaha diplomasi semakin sukar diteruskan hingga mendorong Teheran untuk lebih bergantung kepada kekuatan sendiri dan mengambil pendirian yang lebih berani dalam soal keselamatan bagi melindungi kedaulatan wilayahnya.

Persoalannya kini bukan sekadar mengenai pilihan dasar, tetapi hakikat bahawa era tindak balas secara terhad telah berakhir.

Iran telah menetapkan satu garis merah yang jelas dan bertekad untuk mempertahankannya yang mana sebarang tindakan AS yang melampaui batas bakal mengundang akibat dahsyat.

Strategi baharu Iran

- Selat Hormuz akan ditutup kepada semua lalu lintas maritim. Jika penutupan sepenuhnya dilaksanakan, pasaran tenaga global akan terjejas teruk, harga tenaga boleh meningkat, sekali gus mencetuskan kejutan ekonomi di seluruh dunia.

- Teheran akan menyerang sasaran musuh dengan nisbah 2:1, bermakna bagi setiap aset Iran yang diserang, sekurang-kurangnya dua kedudukan musuh akan menjadi fokus utama tindak balas.

- Sejak MoU AS-Iran ditandatangani pada 17 Jun lalu, AS telah melancarkan tiga siri serangan terhadap sasaran di Iran, sekali gus mencetuskan tindak balas agresif Teheran yang menyasarkan beberapa kemudahan dan pangkalan musuh di negara Teluk.

- Menurut data penjejakan kapal, sebanyak 279 kapal berjaya melalui Selat Hormuz sejak tercetusnya perang ke atas Teheran antara 28 Februari dan April lalu. Kira-kira 22 kapal turut dilaporkan diserang sepanjang tempoh berkenaan.