Anak Netanyahu tukar nama rasmi kepada Yonatan Hon

Iklan
Yair Netanyahu menukar nama kepada Yonatan Hon. Foto Yeni Safak

TEL AVIV - Anak lelaki Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dilaporkan menukar nama rasminya daripada Yair Netanyahu kepada Yonatan Hon.

Laporan akhbar Israel, Haaretz memetik dokumen Pihak Berkuasa Cukai Israel yang menunjukkan perubahan nama itu dibuat dalam tempoh 18 bulan lalu, dengan nombor pengenalan kebangsaan yang sama dikekalkan.

Iklan
Iklan

Menurut laporan berkenaan, dokumen cukai yang dikeluarkan pada penghujung 2024 masih menggunakan nama lamanya, namun dokumen lebih terkini memaparkan nama baharu iaitu Yonatan Hon.

Perubahan itu dilaporkan tidak melibatkan pertukaran identiti rasmi lain kerana rekod kerajaan masih menggunakan nombor pengenalan yang sama.

Iklan

Laporan itu turut mengimbas beberapa kejadian sebelum ini membabitkan ahli keluarga Netanyahu yang pernah menggunakan nama berbeza.

Benjamin Netanyahu sebelum ini pernah menjelaskan beliau dan isterinya sengaja tidak menamakan salah seorang anak mereka sempena nama adiknya yang terbunuh, Yonatan Netanyahu, kerana bimbang nama tersebut membawa beban besar kepada anak itu.

Iklan

“Dengan sengaja... anda meletakkan beban yang sangat berat kepada seorang anak,” katanya.

Selain Yair, laporan itu turut menyebut bahawa anak sulung Netanyahu, Avner Netanyahu, serta Perdana Menteri Israel sendiri pernah menggunakan nama alternatif ketika berada di luar negara.

Di Israel, rakyat secara amnya dibenarkan menukar nama rasmi sekali setiap tujuh tahun tertakluk kepada prosedur undang-undang tertentu.

Bagaimanapun, laporan berkenaan tidak menyatakan sebab khusus Yair memilih untuk menukar namanya kepada Yonatan Hon.-Agensi