SEREMBAN - Pegawai kerajaan termasuk guru antara seramai 3,642 individu yang ditahan oleh polis Negeri Sembilan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kesemua mereka yang berusia antara 13 tahun hingga 67 tahun itu ditahan dalam serbuan dan pemeriksaan dilakukan di beberapa lokasi termasuk di pusat hiburan.
"Mereka yang ditangkap ini sebahagiannya adalah pegawai kerajaan dan ada juga guru, namun kebanyakannya tiada pekerjaan tetap.
"Daripada jumlah itu, seramai 97 ditangkap mengikut 39b ADB 1952 yang membawa hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup manakala, seramai 36 ditangkap mengikut Langkah- Langkah Pencegahan Khas 1952," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Pelupusan Barang Kes Dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini pada Khamis.
Jelas beliau, kebanyakan mereka adalah dalang atau perancang serta 'financier' dalam sindiket yang ditumpaskan dalam tahun 2026.
Tambahnya, bagi tangkapan memiliki dadah seramai 1204 orang ditahan iaitu peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding 1,083 orang bagi tempoh yang sama pada 2025.
"Hasil daripada tangkapan kes pengedaran dan pemilikan ini menghasilkan rampasan yang bernilai RM19.4 juta. Syabu, ganja dan ketamin rampasan yang tertinggi untuk Negeri Sembilan pada 2026," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 3,213 kertas siasatan dibuka mengikut Akta Dadah Berbahaya(ADB) serta Akta Racun dan daripada jumlah itu sebanyak 1,868 kertas siasatan sudah dituduh.
Ujarnya, bagi sitaan harta pengedar dadah, tindakan mengikut Akta Perlucuthakan Harta 1988 terhadap semua aset pengedar dibuat dengan anggaran sitaan adalah berjumlah RM1.1 juta.
Dalam pada itu Alzafny berkata, cecair ganja dan ketamin yang dimasukkan ke dalam peranti elektronik vape antara dadah bernilai RM2.08 juta yang dilupuskan pihaknya di Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd, Bukit Pelandok, Port Dickson.
"Semua eksibit ini adalah hasil daripada serbuan serta rampasan yang dilakukan di lapan daerah di negeri ini dan sudah selesai daripada segala prosiding mahkamah.
"Antara dadah yang dilupuskan adalah heroin sebanyak 7,795.57 gram (g), ganja (4890.52 g), syabu (13280.07 g), ketamin (2120.16 g), cecair vape/ ketamin (75.56 liter) dan cecair ganja (15.50 ml)," katanya.
Ujarnya, turut dilupuskan pada tahun ini adalah barang rampasan alatan pemprosesan dadah yang membabitkan kes yang disiasat mengikut Seksyen 39b ADB 1952 di daerah Port Dickson dan Rembau.