GEORGE TOWN - Mayat seorang lelaki ditemukan berlumuran darah di tingkat bawah sebuah hotel di Bayan Lepas, dekat sini pada Ahad dipercayai selepas terjatuh dari balkoni biliknya di tingkat 23 bangunan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, mayat lelaki tempatan berusia 25 tahun yang berasal dari Bayan Lepas itu ditemukan oleh seorang pekerja hotel pada 6.40 pagi, dan pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 7.13 pagi.
"Siasatan mendapati mangsa disyaki terjatuh dari balkoni biliknya di tingkat 23 hotel tersebut, dan pemeriksaan forensik di lokasi kejadian serta tubuh mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
"Hasil bedah siasat oleh Pakar Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang mendapati mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki, badan dan kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi," katanya dalam kenyataan, malam Ahad.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, dan satu Laporan Mati Mengejut (LMM) dibuka untuk siasatan lanjut. - Bernama