KOTA BHARU - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong dari Barisan Nasional (BN) Datuk Ramzi Ab Rahman meninggal dunia awal pagi Khamis.
Allahyarham yang juga merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai meninggal dunia pada jam 2.40 pagi.
Solat jenazah akan dilakukan di Masjid Ar-Rahman, Kubang Batang, Tumpat pada jam 11 pagi.
Sementara itu Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham
"Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan tanah air, khususnya dalam memperjuangkan nasib masyarakat luar bandar serta memperkukuhkan perjuangan UMNO di Kuala Krai.
"Segala khidmat bakti, komitmen dan pengorbanan beliau akan terus dikenang. Semoga ALLAH SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat-Nya, menerima segala amal kebajikan yang telah dilakukan serta menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Ramzi berjaya menewaskan calon Pas, Ku Zaki dengan majoriti 229.
Ramzi memproleh 4,612 undi manakala Ku Zaki Ku Hussain 4,383 undi.