IPOH – Masjid Sultan Idris Shah II, Masjid Negeri Perak meneruskan penganjuran program Nikah Jama'ie Syar'ie 2026 sebagai usaha menggalakkan golongan muda menyegerakan perkahwinan tanpa dibebani kos majlis yang tinggi.
Imam Besarnya, Abd Farid Salleh berkata, peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan perkahwinan menyebabkan ramai pasangan menangguhkan hasrat mendirikan rumah tangga sehingga terpaksa mengumpul wang dalam tempoh yang lama.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja melambatkan pembinaan institusi keluarga, malah boleh mendedahkan pasangan bertunang kepada pergaulan yang tidak sepatutnya.
"Tujuan utama kita menganjurkan program ini ialah membantu meringankan kos perkahwinan supaya pasangan tidak perlu menunggu terlalu lama untuk berkahwin.
"Kita melihat pada masa ini kos minimum mengadakan majlis perkahwinan boleh mencecah sekitar RM30,000 termasuk hantaran, kenduri, pakaian dan pelbagai keperluan lain. Keadaan ini menjadi antara faktor pasangan menangguhkan perkahwinan," katanya pada sidang media di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini pada Rabu.
Abd Farid berkata, program yang mula diperkenalkan pada 2013 itu merupakan antara inisiatif pengimarahan masjid dengan menjadikan institusi berkenaan sebagai pusat pembangunan komuniti selain tempat beribadah.
Katanya, konsep nikah beramai-ramai itu membolehkan kos penganjuran dikurangkan sekali gus menawarkan pakej perkahwinan pada kadar lebih berpatutan berbanding majlis yang diadakan secara bersendirian.
Menurut beliau, bagi penganjuran tahun ini yuran penyertaan ditetapkan RM4,000 bagi setiap pasangan berbanding RM3,000 tahun lalu namun jumlah tetamu yang disediakan ditingkatkan daripada 75 kepada 100 orang bagi setiap pasangan.
"Walaupun terdapat sedikit kenaikan yuran, kita tambah nilai pakej dengan meningkatkan kapasiti jemputan supaya ahli keluarga kedua-dua belah pihak dapat hadir tanpa perlu membuat penambahan.
"Hampir semua keperluan majlis disediakan termasuk katering, fotografi, makan malam khas serta penginapan hotel pada malam pertama," katanya.
Menurut Abd Farid, program itu turut menjadi medium mendidik masyarakat mengenai konsep perkahwinan yang menepati syariat dengan menekankan kesederhanaan, mengelakkan pembaziran dan mengutamakan ibadah.
Jelasnya, penganjuran Nikah Jama'ie Syar'ie pada tahun ini terbuka kepada 30 pasangan yang tinggal atau bermastautin di Perak dan majlis dijadual berlangsung pada 26 Disember 2026.
Katanya, pasangan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman media sosial masjid dan berhubung dengan pegawai masjid.
Sementara itu beliau berkata, selepas diperkenalkan oleh Masjid Negeri Perak pada 2013, program berkenaan kemudiannya diangkat sebagai program peringkat negeri oleh Jabatan Agama Islam Perak sebelum dihentikan sementara ketika pandemik Covid-19 dan diteruskan semula sejak tiga tahun lalu.