NAMA Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menjadi antara yang disebut-sebut, malah dijadikan modal pula dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Sama ada dijadikan hujah oleh pihak lawan mahupun dipertahankan oleh penyokongnya, bekas Perdana Menteri itu terus mendominasi naratif politik walaupun pilihan raya yang berlangsung adalah bagi memilih kerajaan negeri.
Hakikatnya, fenomena sebegini bukan sesuatu yang baharu. Sejak kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada 2018 selepas lebih enam dekad mentadbir negara, Najib kekal menjadi simbol yang membelah pandangan rakyat.
Bagi pihak yang menentangnya, beliau dikaitkan dengan isu integriti dan tadbir urus.
Bagaimanapun, penyokong melihat bekas Ahli Parlimen Pekan itu sebagai pemimpin yang masih memiliki pengaruh besar, terutama dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar kerana dasar-dasar ekonomi ketika pentadbirannya.
Dalam konteks PRN Johor, penggunaan nama Najib sebagai modal kempen berhubung pengampunan diraja memperlihatkan strategi psikologi yang cuba menggerakkan emosi pengundi.
Pakatan Harapan (PH) didakwa cuba membina persepsi bahawa kemenangan BN boleh memberi kesan kepada kedudukan politik Najib, namun BN menekankan pilihan raya negeri tiada kaitan dengan proses kehakiman atau urusan kerajaan Persekutuan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga menegaskan pembebasan Najib hanya ada satu cara sama seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu iaitu melalui kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Kalah atau menang PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri'
DAP tidak pernah pertikai hak Melayu, kerajaan adil pada semua kaum - PM
Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di PRN Negeri Sembilan
'Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor'
Namun persoalan lebih besar adalah naratif yang dimainkan benar-benar mempengaruhi corak pengundian atau tidak?
Bagi pengundi atas pagar, isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, bekalan air, kesesakan lalu lintas dan pembangunan setempat lazimnya lebih dekat dengan kehidupan harian berbanding polemik mengenai seorang bekas Perdana Menteri.
Ramai berpandangan sekiranya kempen terlalu tertumpu kepada figura Najib, isu-isu tempatan yang sepatutnya menjadi asas PRN berisiko tenggelam.
Pada masa sama, hakikat bahawa nama bekas Presiden UMNO tersebut masih menjadi bahan kempen menunjukkan beliau kekal mempunyai nilai politik yang tinggi.
Dalam landskap politik, seseorang itu hanya dijadikan sasaran kempen jika dipercayai masih mampu mempengaruhi sentimen pengundi sama ada dalam bentuk sokongan atau penolakan.
Najib yang kini menjalani hukuman penjara terus menjadi faktor yang mampu mencetuskan perdebatan dan menggerakkan penyokong kedua-dua belah pihak.
Pada akhirnya, keputusan PRN Johor pada 11 Julai ini sebagai penentu sama ada strategi memainkan isu pengampunan diraja membabitkan Najib masih berkesan atau pengundi kini lebih cenderung menilai prestasi, manifesto dan kemampuan calon menyelesaikan masalah negeri.
Sekiranya pengundi memilih berdasarkan isu tempatan, maka penggunaan nama Najib sebagai modal kempen mungkin sekadar menjadi 'gangguan politik' yang tidak banyak mengubah keputusan pada peti undi.
Tetapi, jika sentimen terhadap beliau terus mempengaruhi tingkah laku pengundi, ia membuktikan bayang-bayang politik Najib masih belum berakhir walaupun tidak berada di medan pilihan raya.