Scammer semakin licik, kesedaran masyarakat masih rendah

Iklan
Masyarakat perlu mengubah sikap dengan tidak mudah mempercayai individu yang dikenali menerusi media sosial, selain sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga. Foto hiasan

JENAYAH penipuan dalam talian atau scammer dilihat semakin membimbangkan apabila kes seumpama itu terus berlaku meskipun pelbagai amaran dan peringatan telah diwar-warkan.

Lebih membimbangkan, penipuan berkenaan bukan sahaja menyasarkan golongan muda yang aktif menggunakan teknologi, malah lebih fokus kepada warga emas dan pesara.

Iklan
Iklan

Situasi itu menimbulkan persoalan sejauh mana masyarakat mengambil iktibar daripada kes penipuan yang dilaporkan hampir setiap hari.

Sedangkan modus operandi sindiket berkenaan kerap didedahkan kepada umum.

Iklan

Ada yang berpendapat, golongan berusia lebih mudah menjadi sasaran kerana sindiket mengambil kesempatan terhadap kepercayaan, kelemahan dan kurangnya pengetahuan mereka mengenai taktik penipuan digital.

Lebih menyedihkan apabila wang simpanan yang dikumpulkan sejak bertahun-tahun, khususnya untuk kegunaan hari tua, lesap dalam sekelip mata selepas menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab.

Iklan

Bagaimanapun, hakikatnya golongan muda juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa.

Ini membuktikan jenayah berkenaan tidak mengenal usia, latar belakang pendidikan mahupun kedudukan kewangan seseorang.

Antara perkara yang sering dipersoalkan ialah kecenderungan sesetengah individu terlalu mudah mempercayai kenalan di media sosial sehingga sanggup melakukan transaksi kewangan tanpa menyemak kesahihan identiti pihak terbabit.

Mereka mudah terperangkap dengan janji manis, tawaran menguntungkan dan pelbagai helah sindiket.

Tidak dinafikan, kecuaian individu itu membuka ruang kepada penjenayah untuk melaksanakan kegiatan mereka namun, menyalahkan mangsa semata-mata bukan penyelesaian kerana sindiket semakin licik memanipulasi emosi, kepercayaan dan keadaan seseorang.

Malah, ada yang menyifatkan kegiatan scammer seolah-olah sudah menjadi satu bentuk profesion apabila penipuan dilakukan secara terancang dan berulang, dengan sasaran mangsa yang berbeza setiap hari.

Dalam pada itu, jumlah sebenar mangsa juga mungkin lebih besar sekiranya mengambil kira individu yang memilih untuk berdiam diri dan tidak membuat laporan polis.

Justeru, tindakan tegas pihak berkuasa amat diperlukan bagi memastikan sindiket penipuan tidak terus bermaharajalela.

Siasatan menyeluruh, pengesanan aliran wang serta tindakan terhadap pihak yang bersubahat perlu diberi perhatian agar kegiatan berkenaan dapat dibendung.

Pada masa sama, masyarakat perlu mengubah sikap dengan tidak mudah mempercayai individu yang dikenali menerusi media sosial, selain sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Setiap tawaran atau permintaan wang perlu disemak terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan dibuat.