Maaf Prabowo masih belum memadai

Iklan
Prabowo memohon maaf kepada Singapura dan Malaysia susulan kejadian jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah di negara seberang.

SELEPAS hampir empat bulan kebakaran hutan dan tanah di Indonesia mencetuskan jerebu rentas sempadan, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto akhirnya memohon maaf secara terbuka kepada Malaysia dan Singapura.

Pengakuan itu dibuat pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina pada Ahad sekali gus meletakkan semula isu jerebu sebagai ujian terhadap komitmen kerjasama serantau.

Iklan
Iklan

Namun, di sebalik permohonan maaf itu, persoalan yang lebih besar masih belum terjawab: Adakah Indonesia benar-benar mampu memastikan episod pencemaran udara yang sama tidak berulang?

Prabowo mengakui kebakaran besar di negaranya mengambil masa hampir empat bulan untuk dikawal sehingga asapnya turut menjejaskan Malaysia dan Singapura.

Iklan

Bagaimanapun pendiriannya bahawa kejadian itu bukan kesalahan Indonesia, selain penegasan bahawa pemerintah sudah melakukan yang terbaik, memperlihatkan satu persoalan penting mengenai tanggungjawab negara terhadap kesan pencemaran rentas sempadan.

Hakikatnya, jerebu tidak mengenal sempadan politik. Rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti pembakaran tetap terdedah kepada risiko kesihatan, gangguan kehidupan harian dan kesan terhadap kegiatan ekonomi.

Iklan

Justeru, permohonan maaf itu perlu dilihat sebagai permulaan kepada tindakan lebih besar, bukannya penamat kepada isu yang berulang setiap kali rantau ini berdepan musim kering.

Prabowo mengemukakan beberapa angka bagi menggambarkan skala usaha Indonesia menangani kebakaran berkenaan. Seramai 71,000 anggota dikerahkan untuk operasi pemadaman, manakala 16 anggota dilaporkan terkorban dan dua helikopter hilang sepanjang operasi.

Beliau turut menyifatkan fenomena El Nino yang melanda sebagai antara paling buruk dalam tempoh 50 tahun, sekali gus menyukarkan usaha mengawal kebakaran.

Dari sudut penguatkuasaan, sebanyak 17 konsesi syarikat ditarik balik. Sebanyak 26 syarikat sedang disiasat, 11 sudah didakwa manakala 23 lagi disenaraikan untuk tindakan pendakwaan. Secara keseluruhan, 104 syarikat turut berada dalam siasatan polis.

Angka itu menunjukkan skala tindakan yang diumumkan Jakarta. Namun, keberkesanannya tidak seharusnya diukur melalui jumlah operasi, siasatan atau konsesi yang ditarik balik semata-mata.

Ukuran sebenar ialah sama ada pihak yang terbukti melakukan pembakaran dikenakan hukuman sewajarnya, kawasan berisiko dipantau dan kegiatan pembakaran dapat dicegah sebelum api merebak.

Malah, hasrat Prabowo mengubah pendekatan daripada pemadaman kepada pencegahan sistematik menerusi penubuhan agensi baharu menunjukkan Indonesia sendiri mengakui keperluan memperkukuh pengurusan kebakaran.

Dalam hal ini, ASEAN juga tidak boleh sekadar menjadi medan menyuarakan kebimbangan. Seruan mempercepat ratifikasi penubuhan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan perlu disusuli tindakan supaya mekanisme itu benar-benar berfungsi.

Malaysia tidak seharusnya terus menjadi pihak yang menanggung kesan pencemaran akibat kebakaran di negara jiran.

Prabowo sudah menyampaikan permohonan maaf. Kini, cabaran sebenar Jakarta ialah membuktikan bahawa pengakuan itu membawa perubahan.

Bagi Malaysia, udara bersih bukan ihsan negara jiran, sebaliknya hak yang perlu dilindungi. Maaf boleh meredakan ketegangan diplomatik, tetapi hanya tindakan berkesan mampu menghalang jerebu daripada kembali menyelubungi rantau ini.

*Muhammad Shamsul Abd Ghani ialah wartawan Sinar Harian