KUALA LANGAT - Insiden tikam pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di sini dipercayai berlaku ketika mangsa baru selesai membeli roti di kantin.
Seorang pelajar mendakwa, suspek dipercayai memasuki kawasan kantin melalui laluan dari arah surau sebelum suasana bertukar kecoh.
Katanya, keadaan bertukar gempar sejurus kejadian dengan pelajar bertempiaran lari menyelamatkan diri.
"Masa kejadian, pelajar lain di situ terus lari selamatkan diri," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.
Tambahnya, kesemua pelajar kemudiannya telah diarahkan berkumpul di padang sekolah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Sebelum itu, insiden itu telah mendapat perhatian serius Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek apabila beliau hadir ke sekolah berkenaan kira-kira jam 1 petang.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar perempuan kena tikam di sekolah
Remaja perempuan tikam pelajar di sekolah ditahan polis
Kes tikam pelajar: Mangsa diberi rawatan, suspek pula ditahan polis - JPN
'Anak saya ditikam 14 hingga 16 kali' - Bapa pelajar ditikam di sekolah
Usah buat spekulasi kes pelajar ditikam - Polis
Turut kelihatan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi yang meninjau lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, seorang pelajar berusia 15 tahun cedera ditikam di beberapa bahagian badan dalam insiden yang mengejutkan warga sekolah.
Suspek dipercayai memasuki kawasan kantin melalui laluan dari arah surau sebelum kejadian berlaku.
Suspek perempuan berusia 15 tahun yang memakai baju T-shirt hitam difahamkan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu dan sedang menjalani rawatan kesihatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, suspek kes terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.