Impian ibu ke Haramain jadi kenyataan

Iklan
MOHD FADHLURRAHMAN (tengah) menerima hadiah utama kuiz Salam Baitullah yang disampaikan Ashwad. Foto MARDHIYYAH HOTEL & SUITES

Guru Matematik rangkul hadiah utama kuiz Salam Baitullah, menangi 2 pakej umrah selepas 10 tahun jadi penonton setia

ADA impian yang disimpan begitu lama dalam hati seorang ibu, tetapi tidak pernah diungkap dengan tuntunan.

Hanya sesekali ia disebut dengan nada perlahan ketika menonton Salam Baitullah, rancangan agama khas diterbitkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ketika musim haji, namun cukup buat anak memahami bahawa keinginan itu benar-benar lahir dari lubuk jiwanya.

Iklan
Iklan

Begitulah impian Salmiah Ismail, 67, yang sejak sekian lama menyimpan hasrat untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Hasrat itu diketahui anaknya, Mohd Fadhlurrahman Othman, 29, ketika mereka menjadi penonton setia Salam Baitullah sejak dia di bangku sekolah menengah lagi, kira-kira 10 tahun lalu.

Iklan

Menurut Mohd Fadhlurrahman, sebagai seorang anak, dia hanya mampu berdoa agar impian ibunya itu dapat tercapai suatu hari nanti.

Bagaimanapun ujarnya, dia sendiri tidak menyangka doanya begitu cepat dimakbulkan ALLAH SWT dan impian ibunya itu semakin hampir terlaksana apabila dia dinobatkan sebagai pemenang utama kuiz Salam Baitullah sempena musim haji baru-baru ini.

Iklan

“Kami sudah menonton rancangan ini sejak 2016 lagi, namun hanya terdetik di hati untuk menyertai kuiz bermula 2024. Sejak itu saya tidak pernah gagal menyertainya,” ujarnya ketika ditemui Sinar Islam Plus selepas Majlis Penutup Program Salam Baitullah Musim ke-18 di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam pada Selasa.

MOHD FADHLURRAHMAN

Hadiah disampaikan Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik, Datuk Mas Rizal Mohd Hilmi dan Timbalan Pengarah Urusan Mardhiyyah Hotel & Suites, Munirah Mohamed Rafik.

Usaha membuahkan hasil

Ujarnya, dalam usaha untuk memenangi kuiz ini, beliau menganalisis corak pemenang sebelum ini dan ia membuahkan hasil selepas dua tahun mencuba.

“Ketika dihubungi pihak penerbit, saya begitu teruja dan saya tidak merasakan ia panggilan scammer memandangkan memang saya ada menyertai kuiz itu.

“Ibulah orang pertama yang saya maklumkan mengenai kejayaan ini.

Beliau yang merupakan seorang Guru Matematik di Sekolah Menengah Agama Al-Yusufiah, Pengkalan Hulu, Perak hanya hadir seorang diri dengan menaiki bas.

Penyampaian menyentuh jiwa

Ketika ditanya mengenai manfaat program Salam Baitullah, beliau menjelaskan, program itu sememangnya menjadi kegemaran ibunya dan dia pada mulanya hanyalah menemani ibunya menonton rancangan tersebut.

“Bagaimanapun saya mula tertarik dengan penyampaian rancangan dan daripada sekadar menemani ibu, saya juga menjadi penonton setia serta menghayati setiap pengisian yang dibawakan.

PENYANYI lagu tema Salam Baitullah, Lah Ahmad (kiri) dan Wany Hasrita turut mempersembahkan nyanyian merdunya.Foto MARDHIYYAH HOTEL & SUITES

“Di sebalik paparan perjalanan rohani jemaah haji ke Tanah Suci, ada sesuatu yang lebih mendalam menyentuh jiwa.

Persiapan bawa ibu tunai umrah

Bercerita mengenai persiapan ke Tanah Suci, ujarnya lagi, beliau akan membuat persediaan secukupnya sebelum berangkat menunaikan umrah yang dirancang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Saya akan bawa ibu menyertai kursus umrah dan membuat segala persiapan yang diperlukan.

“Insya-Allah kami akan ke Tanah Suci pada tahun hadapan,” ujarnya.

Jelasnya, walaupun sibuk menjadi pendidik sejak tahun 2022, tanggungjawabnya sebagai anak kepada ibu bapa tetap menjadi keutamaan.

SEBAHAGIAN tetamu yang hadir pada Majlis Penutup Program Salam Baitullah musim ke-18 di Shah Alam baru-baru ini. Foto MARDHIYYAH HOTEL & SUITES

Sebelum menutup bicara, beliau sempat berpesan agar tidak berputus asa dengan rahmat ALLAH SWT dan sentiasa berdoa kepada-NYA.

“Saya sendiri tidak menyangka dapat memenangi kuiz ini sekali gus selangkah ke hadapan untuk menunaikan umrah di Tanah Suci,” katanya.

Salam Baitullah merupakan antara program kerohanian utama RTM yang telah bersiaran selama 18 musim dan ia terus menjadi medium dakwah, pendidikan serta perkongsian ilmu yang dekat di hati masyarakat khususnya sepanjang musim haji.