BAGI kebanyakan mutawif, membimbing jemaah umrah atau haji sudah cukup mencabar dengan lautan manusia, pergerakan yang padat dan jadual ibadah yang intensif.
Bagaimanapun, ia lebih mencabar apabila jemaah yang dibawa ke Tanah Suci itu merupakan golongan istimewa iaitu orang kurang upaya (OKU) penglihatan.
Itulah pengalaman manis yang dilalui Penasihat In Saff Travel & Tours Cawangan Shah Alam, Ahmad Najmi Sadali dan pasukannya yang membawa puluhan jemaah yang merupakan ahli Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) menunaikan ibadah umrah di Makkah dan ziarah di Madinah.
Menurut beliau, antara cabaran terbesar yang dihadapi mereka ialah memikirkan kaedah yang terbaik untuk menyempurnakan ibadah wajib dilakukan seperti tawaf dan sai.
“Cabaran pertama yang kami hadapi ketika mahu melaksanakan tawaf dan perlu memastikan jemaah ini bergerak dalam keadaan formasi yang tersusun.
Ujarnya, ibadah tawaf yang biasanya boleh disiapkan dalam tempoh sejam bagi kebanyakan orang normal itu berbeza apabila dilakukan oleh jemaah OKU ini.
“Kami menyusun formasi dengan baik sebelum melakukan tawaf di hadapan Kaabah dan proses untuk menyelesaikan tawaf itu mengambil masa antara dua hingga tiga jam,” ujarnya.
Sentiasa peka keadaan jemaah
Ceritanya, dalam suasana yang sesak di Masjidil Haram terutamanya ketika itu merupakan musim puncak apabila ramai umat Islam mahu melaksanakan umrah dan berpuasa di Tanah Suci, mereka perlu lebih berhati-hati.
Begitu juga ketika melakukan ibadah sai dan ia lebih mencabar memandangkan kesukaran untuk melakukan formasi di kawasan tersebut, ujarnya.
“Bagaimanapun, kami meminta jemaah untuk membuat kumpulan kecil dan ditemani mutawif atau sukarelawan.
“Alhamdulillah semuanya dipermudahkan ALLAH dan selepas umrah pertama, jemaah ini berpuas hati dengan kelancaran pergerakan,” jelasnya.
Luruh jantung jemaah hilang
Bagaimanapun ada satu kisah yang membuatkan pasukannya ‘luruh jantung’ apabila seorang jemaah menghantar voice note yang berbunyi: “Man, jangan tinggalkan aku.”
“Waktu itu saya masih ingat iaitu selepas Isyak dan kami sedang berbincang untuk pergerakan keesokan hari. Mendengar saja mesej tersebut, kami semua terkejut.
“Setelah disiasat, rupa-rupanya jemaah itu terpisah daripada kumpulannya pada siang hari dan sudah dijumpai dalam keadaan selamat, namun mesejnya masuk ke dalam group WhatsApp lambat iaitu selepas Isyak,” ceritanya sambil ketawa kecil.
Masyarakat luar kagum
Tambah Ahmad Najmi, beliau juga sempat melihat jemaah luar negara kagum dengan jemaah OKU ini apabila melihat mereka kuat dan saling bekerjasama.
“Mutawif daripada agensi umrah lain juga terkejut kami dapat membawa mereka dengan baik,” katanya.
Ketika ditanya mengenai istito’ah buat golongan OKU penglihatan ini, beliau menjawab, seseorang yang mempunyai kekangan fizikal mungkin tidak wajib menunaikan haji atau umrah jika tiada kemampuan.
“Namun apabila halangan itu dapat diatasi melalui bimbingan, bantuan dan sokongan peneman, maka ruang untuk menunaikan ibadah umrah dan haji itu terbuka luas,” katanya.
Detik-detik akhir ketika mahu meninggalkan Baitullah membuatkan beliau cukup terharu dan mengalirkan air mata apabila melihat jemaah ini bersungguh-sungguh berdoa ingin kembali lagi ke Tanah Suci.
“Saat itulah emosi benar-benar tersentuh. Saya sendiri menitiskan air mata apabila melihat jemaah menangis. Mereka tidak tahu bila lagi akan dapat datang ke sini,” katanya.