SIAPA sangka keterbatasan penglihatan yang dihadapi tidak menjadikannya sebagai penghalang untuk menjadi tetamu ALLAH SWT di Tanah Suci.
Itulah yang dibuktikan sekumpulan 46 jemaah orang kurang upaya (OKU) penglihatan daripada Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) yang berjaya menunaikan ibadah umrah dengan penuh semangat dan ketabahan pada Ramadan lalu.
Setiausaha Agung Pertis, Muhammad Shahril Azrie Zainudin menjelaskan, program menunaikan umrah ini sememangnya dirancang untuk dijadikan acara tahunan Pertis memandangkan kejayaannya dalam penganjuran pertama kali sebelum ini pada 2024.
“Program ini mendapat sambutan yang sangat baik pada pertama kali diadakan. Jadi Pertis merancang untuk menjadikan ia sebagai program berkala kerana ada dana khas untuk program ini dan ia mendapat kerjasama In Saff Travel & Tours Cawangan Shah Alam (In Saff).
“Untuk kali ini, seramai 10 orang ahli Pertis mendapat tajaan penuh manakala selebihnya terdiri daripada ahli yang membiayai sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus di Shah Alam.
Menurutnya, persiapan kali kedua untuk menunaikan ibadah umrah ini lebih tersusun dan pengalaman peserta sebelum ini menjadi panduan penting buat mereka semua.
“Mutawif juga mengadakan kursus umrah buat kami di pejabat Pertis sebagai persediaan ke sana selain perbincangan yang rapi ketika berada di sana,” jelasnya.
Terharu, rasai suasana di hadapan Kaabah
Menyambung cerita, beliau menjelaskan, rombongan berangkat tanpa masalah besar hasil bantuan sukarelawan dan mutawif yang sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Ketika tiba di Masjidil Haram terutamanya ketika menghampiri Kaabah, masing-masing terharu walaupun kami semua sememangnya tak nampak.
Bagaimanapun katanya, suasana kali ini berbeza dengan pengalamannya mengerjakan umrah sebelum ini memandangkan bilangan jemaah agak ramai yang merebut peluang mengerjakan umrah pada Ramadan.
“Memang kami minta pada pihak In Saff untuk mengerjakan umrah pada bulan Ramadan, dua kali Jumaat di sana dan ketika musim sejuk.
“Walaupun tahu ia musim puncak, In Saff bersetuju untuk membawa kami ke Tanah Suci,” katanya.
Tawaf dalam formasi
Jelasnya lagi, antara cabaran yang perlu dihadapi jemaah Pertis ketika melakukan tawaf pertama di hadapan Kaabah.
“Mutawif dan sukarelawan berpesan kepada jemaah kami agar memastikan keselamatan semua, sentiasa berada dalam formasi khas dan tidak berpecah selain memegang erat bahu orang di hadapan.
“Proses tawaf mengambil masa kira-kira dua jam memandangkan orang ramai dan adakalanya kami dilanggar jemaah lain.
Menariknya, mutawif memberitahu ada juga jemaah negara lain yang berjalan bersama kami terutamanya warga emas.
Sementara itu, sukarelawan Pertis, Muhammad Aizat Firdaus Mohd Fekkeri, 31, menceritakan pengalaman pertamanya mengiringi jemaah OKU penglihatan menunaikan umrah ini membuka perspektif baharu buat dirinya.
“Sepanjang bersama mereka di sana selama kira-kira 10 hari, sememangnya tidak susah untuk membantu mereka. Keinginan mereka sangat kuat untuk beribadah.
“Bila diajak ke masjid atau melakukan ibadah, mereka sentiasa bersedia dan kadang-kadang mereka yang datang awal menunggu di pintu bilik saya,” katanya.
Ujarnya, semangat luar biasa jemaah Pertis inilah yang memudahkan segala urusan sepanjang berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah.
Bagi seorang lagi sukarelawan, Muhammad Afiq Ikmal Mohammad Saad, 26, beliau menjelaskan pengurusan untuk rombongan jemaah Pertis kali kedua ini jauh lebih tersusun berbanding program pertama sebelum ini.
“Kali kedua ini memang lebih teratur. Persiapan lebih rapi dan semuanya berjalan lancar.
Sebelum menutup cerita mereka, Muhammad Shahril Azrie sempat berpesan kepada ahli Pertis dan OKU lain agar tidak berputus asa dan sentiasa berdoa agar dijemput ke Tanah Suci.
“Kekurangan bukan alasan untuk berputus asa. Walaupun tidak dapat melihat, ia bukan bermakna kita tidak boleh pergi.
“Janganlah lepaskan peluang dan berdoalah agar dipermudahkan urusan untuk ke Tanah Suci,” nasihatnya.