Hasil dirasa, keyakinan dibina

Iklan
Saarani (depan, tengah) bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menunjukkan buku Laporan Kemajuan Tahun Keempat Perak Sejahtera 2030 yang turut dilancarkan di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh pada Isnin.

Saarani (depan, tengah) bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menunjukkan buku Laporan Kemajuan Tahun Keempat Perak Sejahtera 2030 yang turut dilancarkan di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh pada Isnin.

IPOH – Pelan Perak Sejahtera 2030 kini berada di landasan yang kukuh untuk menterjemahkan pertumbuhan ekonomi negeri kepada manfaat yang lebih dirasai rakyat.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, memasuki tahun keempat pelaksanaannya, Perak Sejahtera 2030 bukan sahaja berjaya memacu pertumbuhan ekonomi malah memberi tumpuan memastikan manfaat pembangunan diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, perkembangan itu disokong oleh prestasi ekonomi Perak yang berkembang 5.7 peratus pada 2025 mengatasi kadar pertumbuhan nasional 5.2 peratus, selain muncul sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keenam terbesar negara dengan sumbangan 5.3 peratus.

Iklan

"Momentum ini turut diperkukuhkan melalui peningkatan pelaburan diluluskan daripada RM6.61 bilion pada 2022 kepada RM15.76 bilion pada 2025 sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju pembangunan Perak.

"Keyakinan itu dipacu menerusi lima nod pertumbuhan strategik negeri yang menjadi asas kepada penciptaan peluang pekerjaan, pengukuhan rantaian industri dan limpahan ekonomi ke seluruh daerah," katanya kepada pemberita.

Iklan

Saarani ketika membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Keempat Perak Sejahtera 2030.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Keempat Perak Sejahtera 2030 bertemakan Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Isnin.

Saarani berkata, kerajaan negeri berpandangan pencapaian ekonomi dan pelaburan hanya membawa makna apabila dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

Jelasnya, tumpuan Perak Sejahtera 2030 kini memberi penekanan kepada inisiatif berkaitan kos sara hidup, keterjaminan makanan, pendidikan, kesihatan, perumahan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), keusahawanan serta peluang pekerjaan.

Mengulas mengenai impak yang dirasai rakyat, Saarani berkata, matlamat utama kerajaan negeri adalah memastikan lebih ramai rakyat memperoleh pekerjaan dengan pendapatan tetap dan berkualiti.

Menurutnya, apabila rakyat mempunyai kuasa beli yang lebih baik, ia akan merancakkan rantaian ekonomi serta memberi manfaat kepada pelbagai sektor perniagaan.

"Apabila rakyat mempunyai pendapatan tetap dan berkualiti, mereka akan berbelanja. Secara tidak langsung, ia menghidupkan aktiviti perniagaan dan meningkatkan keupayaan para peniaga.

"Itulah yang dimaksudkan dengan Perak makmur iaitu menyediakan ruang kepada rakyat untuk memperoleh pendapatan yang stabil, berkualiti dan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera," katanya.

Saarani berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan termasuk Kad Perak Sejahtera, Kedai Bergerak dan Pasar Sejahtera Rakyat bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.

Katanya, kerajaan negeri mahu memastikan Perak Sejahtera 2030 bukan hanya menjadi dokumen perancangan, tetapi kerangka kerja yang hidup, dilaksana dan memberi makna kepada kehidupan rakyat.