PM setuju cadangan pendidikan kesihatan mental di sekolah

Iklan
Anwar menyantuni mahasiswa pada program khas Dialog Negara terbitan RTM bertemakan “Di Sebalik Keputusan” di Angkasapuri. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memasukkan elemen pendidikan kesihatan mental dalam kurikulum sekolah bagi membimbing dan membantu pelajar mengurus tekanan dengan lebih baik.

Bagaimanapun, beliau berkata, pendekatan pengajaran berkaitan kesihatan mental perlu dirangka secara berhemah dan menarik agar dapat meningkatkan minat serta penghayatan pelajar.

Iklan
Iklan

"Semua anak-anak (beragama Islam) sekarang belajar Islam, semua berjemaah tetapi penghayatannya itu tidak jadi, saya setuju,” katanya pada program 'Dialog Negara' yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik malam tadi.

Program itu turut disiarkan serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.

Iklan

Perdana Menteri berkata, bilangan kaunselor terlatih di sekolah juga perlu ditambah bagi menangani kes lebih serius, namun usaha itu mungkin mengambil masa kerana memerlukan peruntukan yang besar.

"Kalau perlu kita terpaksalah tetapi mengambil masa. Buat sementara ini harus ditimbulkan kesedaran. Penyelesaian kita ini terlalu terpisah-pisah. Kita timbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Iklan

"Ibu bapa ada tanggungjawab dia. Guru ada tanggungjawab dan menjalankan tanggungjawab dengan baik. Kalau kita pikul amanah ini dengan sebaik mungkin, seikhlas mungkin, sebahagiannya dapat ditangani,” katanya.

Anwar berkata, berdasarkan pembentangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kebanyakan kes melibatkan pelajar sekolah termasuk masalah buli berpunca daripada tekanan dalam keluarga, antaranya terlalu menekan anak-anak supaya belajar selain penganiayaan dan penderaan di sekolah.

"Jadi kalau kita cari penyelesaian ini, kita boleh dengar cadangan dari KPM, Kementerian Kesihatan, dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Maknanya mesti timbul kesedaran lebih meluas dan di rumah bagi saya penting.

"Kena ada asas bahawa mesti ada tanggungjawab ibu bapa dan keluarga. Sibuk bagaimanapun tidak boleh lari daripada tanggungjawab menjaga, mendidik, memberi masa dan ruang, menunjukkan rasa kasih sayang,” katanya.

Barisan panel dalam program Dialog Negara ialah Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Ishak, Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik UKM, Datuk Dr Anis Yusal Yusof, Pegawai Perubatan yang juga pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan serta Usahawan dan Pencipta Kandungan Digital, Adam Shamil.

Turut serta ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekusif PlusVibes Group, Dr Madiha Fuad, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal, Pendakwah Bebas Izzhar Nazri, Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia, Jason Wee dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.- Bernama