Hadis rekaan AI boleh memesongkan kefahaman

Iklan
Ahmad Sanusi

SHAH ALAM - Lambakan maklumat agama di media sosial termasuk hadis dan riwayat yang dijana menerusi kecerdasan buatan (AI) menuntut masyarakat lebih berhati-hati serta menyemak kesahihan sumber sebelum menerima dan mengamalkannya.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, perkembangan teknologi AI turut membuka ruang penghasilan hadis atau riwayat yang disandarkan kepada Rasulullah SAW, meskipun kesahihannya belum tentu terjamin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, situasi itu menjadikan penganjuran Konvensyen My#HadithTime penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keperluan merujuk sumber berautoriti sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu hadis.

"Cabaran paling utama ialah lambakan sumber tidak dapat dipastikan kesahihannya, ditambah pula dengan mentaliti dan sikap masyarakat yang merasakan tidak mengapa untuk menerima sesuatu hadis di media sosial tanpa semakan terlebih dahulu.

Iklan

"Sebagai contoh golongan peniaga yang ingin melariskan produk dengan menggunakan hadis sebagai sandaran tanpa merujuk kepada pihak berautoriti dahulu.

"Pengguna pula mudah percaya hadis yang diletakkan dalam label sesuatu produk tanpa menyemak ketepatan maklumat yang diberikan. Kedua-dua sikap ini akhirnya menyebabkan sesuatu hadis tidak benar disebarkan tanpa masyarakat sedar mungkin hadis itu tidak mempunyai sumber dalam agama," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Dalam masa sama beliau menjelaskan, aspek penguatkuasaan turut berdepan cabaran berikutan belum ada peruntukan undang-undang mewajibkan pengeluar atau penulis menyatakan sumber hadis digunakan atau rujukan asal.

Justeru menurutnya, Konvensyen My#HadithTime akan memberi tumpuan kepada golongan pengguna dan pengamal perubatan selaras tema Prophetic Wellness.

"Semua dijemput hadir konvensyen nanti bagi memastikan kebaikan yang dipelajari dari hadis-hadis Nabi dapat dipraktikkan bersama ahli keluarga dan masyarakat," ujarnya.

Konvensyen My#HadithTime bertajuk 'The Prophetic Wellness: Who Heals You?' yang bakal berlangsung di SCCC pada 6 Disember depan.

Konvensyen My#HadithTime bertajuk The Prophetic Wellness: Who Heals You? akan diadakan pada 6 Disember depan bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang di Ballroom 1, Setia City Convention Centre (SCCC).

Program tersebut mengetengahkan panduan penjagaan kesihatan berteraskan al-Quran dan hadis, selain menekankan keyakinan kepada ALLAH SWT sebagai penyembuh serta kepentingan ilmu dan kepakaran perubatan.

Ahmad Sanusi turut berharap semua pihak memainkan peranan dalam menjayakan usaha memartabatkan sunah Rasulullah SAW kerana tanggungjawab mempelajari dan mengamalkannya bukan hanya terletak pada kelompok tertentu.

"Memartabatkan sunah Rasulullah bukan peranan kumpulan tertentu sahaja, malah seluruh umat Islam diperintahkan agar mempelajari sunah dan mengamalkan bimbingan yang telah disabdakan Nabi SAW," katanya.