SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh digesa mendedahkan asas penilaian, kriteria pemberian premium nominal, syarat kelulusan serta perbandingan kes secara terperinci berhubung tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berkata, sehingga penjelasan itu diberikan, jangan mendakwa pembangkang sudah berpuas hati.
Menurutnya, ini kerana perkara yang dituntut ialah akauntabiliti terhadap keputusan melibatkan aset awam.
"Saya terkejut membaca kenyataan Hannah di Facebook hari ini yang mendakwa ahli Parlimen pembangkang keluar Kamar Khas Dewan Rakyat dengan gembira sebab isu ini sudah jelas kepada mereka.
"Sebagai Ahli Parlimen Pendang yang turut membangkitkan persoalan mengenai KLSCAH, saya menolak gambaran bahawa penjelasan tersebut telah memuaskan hati pembangkang.
Sebelum ini, Hannah menerusi hantaran Facebook meluahkan rasa puas hati kerana berjaya menjawab persoalan berhubung KLSCAH dengan fakta.
Beliau turut memaparkan gambar beberapa ahli Parlimen pembangkang yang keluar dari kamar berkenaan dalam keadaan gembira, sambil mendakwa ia menunjukkan isu berkenaan sudah jelas kepada mereka.
Dalam masa sama, Hannah juga mengucapkan terima kasih kepada ahli Parlimen kerajaan yang turut membahas menyokong usaha kerajaan membantu KLSCAH.
Dalam pada itu, Awang menuntut jawapan berhubung ucapan Hannah pada 14 November 2026 dan bukan hanya mengulangi bahawa Ketua Setiausaha Negara (KSN) mempengerusikan jawatankuasa kelulusan.
Jelasnya, ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-103 KLSCAH pada 14 November itu, Hannah tampil bukan sekadar sebagai penyampai keputusan pentadbiran, tetapi sebagai pemimpin politik yang meraikan kejayaan mendapatkan pengurangan premium daripada kira-kira RM4.67 juta kepada RM1,000.
"Beliau mengumumkan dengan penuh kegembiraan, 'We have now secured', merujuk kepada kejayaan memperoleh kadar premium tersebut. Ungkapan berkenaan jelas membina tanggapan bahawa beliau memainkan peranan penting dalam menjayakan keputusan itu.
"Lebih menarik, Hannah secara khusus memberikan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai atas usaha memastikan perkara tersebut dapat diselesaikan dengan segera dalam penggal pentadbiran semasa.
"Dalam senarai penghargaan panjang yang Hannah ucapkan pada 14 November itu, KSN selaku pengerusi jawatankuasa yang kemudiannya diketengahkan sebagai pihak berkuasa membuat keputusan langsung tidak disebut," ujarnya.
Awang berpendapat, seorang menteri tidak boleh menggunakan pencapaian pentadbiran untuk meningkatkan kredibiliti politiknya, tetapi apabila timbul kontroversi menjelaskan pula bahawa tidak mempunyai kuasa membuat keputusan.
"Pengakuan bahawa kuasa kelulusan terletak pada pihak lain tidak dengan sendirinya menjawab persoalan mengenai pengaruh, keutamaan, penyelarasan dan akauntabiliti menteri.
"Kredit politik dan akauntabiliti pentadbiran tidak boleh dipisahkan mengikut keselesaan keadaan. Jika mahu tampil di hadapan ketika kejayaan diumumkan, bersedialah juga tampil di hadapan untuk menjelaskan keseluruhan proses apabila rakyat mula bertanya," katanya.