BATU PAHAT - Bahang terik mentari bukan penghalang buat seorang warga emas berusia 86 tahun mengayuh beca sejauh hampir satu kilometer bagi menunaikan hajat isterinya melihat dengan lebih dekat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang singgah bersarapan di sebuah kedai makan di Senggarang di sini hari ini.
Abdul Razak Pelangga, 86, berkata, dia mengambil keputusan membawa isterinya Jamilah Samsudin, 64, menaiki beca dari kediaman mereka di Kampung Parit Bugis ke Kedai Kopi Hailam Sri Medan di pekan kecil di sini selepas mendengar perkhabaran akan kehadiran pemimpin nombor satu negara itu semalam.
Imam Masjid Raudhatul Jannah Parit Bugis itu berkata biarpun mempunyai pilihan untuk memandu kereta atau menunggang motosikal, beliau mengambil keputusan untuk membawa isterinya menaiki beca kerana tidak mahu berhadapan kesusahan mencari tempat letak kenderaan.
"Lama bertahun dahulu (sebelum menjadi Perdana Menteri) beliau (Anwar) pernah datang solat di masjid kami di sini, saya yang imamkan jemaah ketika itu, selepas solat kami bersalaman dan bertegur sapa, beliau sangat mesra, saya ceritakan itu kepada isteri.
"Jadi sekarang bila tahu beliau ada di sekitar sini, saya memang berhasrat bawa isteri pula bertemu Perdana Menteri dan kami berdua gembira hari ini, biarpun tak dapat bertentang mata kerana terlalu ramai orang, dapat melihat secara dekat pun memadai, selama ini tonton dalam televisyen sahaja,” katanya kepada Bernama hari ini.
Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira 50 minit bersarapan pagi di kedai berkenaan dan menyantuni penduduk sekitar pada Majlis Ramah Mesra Bersama PMX bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Turut hadir Pengarah Komunikasi PH yang juga Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Dalam pada itu, Abdul Razak turut menzahirkan rasa teruja untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada 11 Julai ini, yang kebetulan jatuh pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-87.
"Banyak kali dah mengundi, tapi kali ini rasa istimewa sikitlah, dapat tunai kewajipan mengundi pada ulang tahun hari kelahiran,” katanya.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai. - Bernama