Onn Hafiz dakwa kenyataan PM mengenai Pelan Induk JS-SEZ tidak tepat

Iklan
Onn Hafiz Foto: Bernama

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendakwa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Dokumen Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat serta pelabur.

Onn Hafiz berkata, beliau menghormati kedudukan Perdana Menteri sebagai pemimpin nombor satu negara, namun berpandangan setiap kenyataan yang dibuat perlu berasaskan fakta yang tepat.

Iklan
Iklan

"Ya, saya sedar saya bukan bertaraf Perdana Menteri. Namun dengan penuh hormat saya berpandangan, apabila seseorang berada di kedudukan sebagai pemimpin nombor satu negara, setiap kenyataan yang dibuat mesti berasaskan fakta yang tepat.

"Agak tidak sesuai apabila seorang Perdana Menteri memberikan gambaran yang tidak tepat berhubung dokumen Pelan Induk JS-SEZ.

Iklan

"Hakikatnya Pelan Induk JS-SEZ ini adalah dokumen Kerajaan Malaysia. Ia tidak memerlukan kelulusan Kerajaan Singapura, sebaliknya hanya proses libat urus serta maklum balas daripada pihak Singapura, dan proses itu telah pun selesai.

"Yang tinggal hanyalah pelancarannya oleh pihak kementerian atau pada majlis yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di media sosial pada Sabtu.

Iklan

Sehubungan itu, Onn Hafiz berpandangan, kenyataan Perdana Menteri yang memberi gambaran seolah-olah pelan induk berkenaan masih perlu menunggu persetujuan pada sesi 'Leaders' Retreat' serta memerlukan tandatangan Perdana Menteri kedua-dua negara adalah tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

Katanya, perkara ini dibangkitkan bukan bertujuan untuk mencela atau menyalahkan mana-mana pihak.

"Sebaliknya ia merupakan tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan setiap inisiatif strategik yang membawa manfaat kepada Johor dilaksanakan mengikut jadual dan dipercepatkan, selain terus memberikan kepastian dan keyakinan kepada para pelabur.

"Ramai pelabur yang bertanya dan menantikan pelancaran pelan induk ini. Ia akan memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus melabur di JS-SEZ di mana limpahan manfaatnya juga akan dirasai oleh Kerajaan Pusat untuk kebaikan Bangsa Johor dan rakyat Malaysia.

"Pada pandangan Perdana Menteri, saya mungkin tidak cerdik tetapi lagi merisaukan jika Perdana Menteri dilihat tidak teliti dan cerdik dalam membuat kenyataan yang tidak tepat.

"Ia memberi kesan bukan sahaja pada rakyat Malaysia dan Bangsa Johor tetapi juga buat pelabur yang telah dan berpotensi melabur di JS-SEZ ini," katanya.