Lebih 160 usahawan mohon pembiayaan mikro RM6.4 juta daripada Agrobank

Iklan
Isham (tengah) bersama Ahmad Badli Shah (dua dari kanan) melihat ikan dijual Pasar Tani Putrajaya pada Jumaat.

PUTRAJAYA – Penyedia perkhidmatan perbankan, Agrobank telah menerima lebih 160 permohonan pembiayaan mikro membabitkan nilai keseluruhan RM6.4 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, ia sekali gus mencerminkan sambutan positif dalam kalangan penjaja dan usahawan mikro terhadap akses kewangan yang lebih mudah dan bersesuaian dengan keperluan perniagaan mereka.

Iklan
Iklan

"Semenjak kita lancarkan Skim Usahawan Tani Agrobank x Fama yang memberi manfaat melalui kadar keuntungan yang rendah dan pengajaran teknikal kewangan serta pemasaran, kami telah mendapat lebih kurang 160 permohonan yang telah diproses dan meluluskan subsidi sekitar RM 6.4 juta kepada peniaga-peniaga di pasar tani dan pasar malam," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang akhbar selepas hadir ke Program Siri Lawatan Pasar Tani Putrajaya di sini pada Jumaat.

Iklan

Turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak.

Ahmad Badli Shah

Iklan

Menurutnya, pencapaian itu menunjukkan pendekatan turun padang yang dilaksanakan Agrobank berjaya mendekati komuniti penjaja secara langsung di lokasi perniagaan mereka.

Tambahnya, inisiatif tersebut bukan sahaja memberi penerangan mengenai kemudahan pembiayaan, malah membantu usahawan mendapatkan khidmat nasihat kewangan, perlindungan takaful, pendigitalan perniagaan serta meningkatkan literasi kewangan.

"Pendekatan turun padang ini membolehkan Agrobank mendengar keperluan peniaga secara langsung selain memberi penerangan yang lebih bersasar mengenai kemudahan pembiayaan dan sokongan kewangan yang tersedia.

"Bagi peniaga kecil, akses kepada maklumat yang jelas dan mudah dicapai adalah penting bagi membantu mereka membuat keputusan kewangan yang lebih baik," katanya.

Ujar Tengku Ahmad Badli, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas akses kewangan kepada komuniti pasar tani, Agrobank turut menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM20 juta bagi menyokong penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.

Isham (dua dari kanan) Ishak bersama (kiri) Ahmad Badli Shah ketika melawat Pasar Tani pada program Lawatan Pasar Tani Putrajaya pada Jumaat.

Katanya, kemudahan itu termasuk Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA yang menawarkan kadar keuntungan serendah 2.5 peratus setahun, selain membolehkan peniaga membuat semakan awal berkaitan pembiayaan dengan lebih mudah.

"Program di Pasar Tani Putrajaya merupakan lokasi kelima siri libat urus Agrobank selepas Pasar Tani Taman Melawati, Kelana Jaya, Bandar Tasik Permaisuri dan Dataran Puchong Permai.

"Pemilihan Pasar Tani Putrajaya dibuat kerana ia merupakan antara pasar tani aktif yang menempatkan 124 usahawan penjaja dan menerima lebih 5,000 pengunjung setiap minggu, selain majoriti peniaganya telah menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai melalui kod QR," jelas beliau.

Sebelum ini media melaporkan Agrobank menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM20 juta khusus untuk peniaga pasar tani di seluruh negara yang dijangka dapat dimanfaatkan kira-kira 5,000 peniaga.

Selain pembiayaan, agensi di bawah KPKM itu juga menyediakan kemudahan 'cashline' tunai sehingga RM5,000 ke dalam akaun peminjam bagi membantu aliran tunai perniagaan.