Sindiket proses minuman keras, cubaan seludup tembakau tumpas

Iklan
Noraidah (tengah) menunjukkan antara rampasan barang kes hasil tindakan ke atas sindiket memproses minuman keras dan penyeludupan produk tembakau. Foto: JKDM KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR – Sindiket memproses minuman keras dan cubaan menyeludup masuk produk tembakau berjaya ditumpaskan dengan rampasan berjumlah kira-kira RM2.57 juta dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.

Op Suling pada 11 hingga 23 Mei lalu itu dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah Kastam (Perkastaman) Kuala Lumpur, Noraidah Ishak berkata, kes pertama pada 20 Mei melibatkan dua serbuan di gudang di Jalan Wangsa Utama dan Taman Wangsa Permai, Kuala Lumpur.

Menurutnya, operasi kira-kira jam 12 tengah hari itu berjaya menemukan sejumlah 4,987 liter minuman keras yang ditampal dengan setem cukai palsu.

Iklan

“Pasukan serbuan turut menemukan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dan membotolkan minuman keras termasuk tong berisi bancuhan kimia disyaki etanol, gulungan setem cukai kastam palsu, peralatan pembungkusan, mesin pemasang penutup botol serta pelekat label tiruan.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM278,531 dengan anggaran duti dan cukai sebanyak RM672,669 menjadikan jumlah nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM951,200,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan premis gudang yang terletak di kawasan tersorok dan jauh daripada penempatan penduduk bagi menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembotolan minuman keras palsu.

Tambahnya, dua lelaki warga asing telah ditahan dan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976.

Antara barang yang dirampas JKDM. Foto: JKDM KUALA LUMPUR

Dalam kes berasingan, pada 14 Mei, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Lumpur telah menahan sebuah kontena yang dipercayai diimport dari sebuah negara di Asia Selatan.

“Pemeriksaan menemukan sejumlah 5,449 kilogram produk tembakau kunyah disyaki tidak berkastam, yang pengimportannya tertakluk kepada lesen import di bawah Butiran 66, Bahagian 1, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” ujarnya.

Katanya lagi, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM944,944 manakala anggaran duti dan cukai ialah RM677,551 menjadikan nilai keseluruhan RM1,622,495.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Tegasnya, JKDM menyeru orang awam agar memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat di semua negeri.

“JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” ujarnya.