Selangor sasar jadi negeri pertama capai ekonomi RM500 bilion - Amirudin

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM - Selangor menyasarkan menjadi negeri pertama di Malaysia mencapai nilai ekonomi RM500 bilion susulan prestasi memberangsangkan dicatatkan sepanjang tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ekonomi Selangor berkembang kepada RM460.1 bilion pada tahun lalu, meningkat RM28 bilion berbanding tahun sebelumnya sekali gus merekodkan pertambahan nilai ekonomi lebih dua kali ganda berbanding mana-mana negeri lain di Malaysia.

Iklan
Iklan

"Prestasi ini sekali gus meningkatkan sumbangan Selangor kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia daripada 26.2 peratus kepada 26.5 peratus dan telah mengembangkan saiz ekonomi Selangor lebih 1.7 kali berbanding Kuala Lumpur dan 2.7 kali berbanding Johor.

"Selangor tidak boleh leka, sebaliknya perlu menyahut cabaran untuk menjadi negeri pertama di Malaysia dengan ekonomi bernilai RM500 bilion," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Amirudin berkata, semua pihak perlu berganding bahu untuk mencapai sasaran itu dan terus meningkatkan produktiviti, sama ada penjawat awam, pekerja mahupun sektor swasta.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi Selangor pada 2025 dipacu tiga sektor utama iaitu perkhidmatan yang berkembang RM15.9 bilion, diikuti pembuatan RM5.3 bilion dan pembinaan RM3.7 bilion.

Iklan

Katanya, pencapaian itu mengukuhkan kedudukan Selangor yang kini menyumbang 35.9 peratus kepada aktiviti pembinaan negara, 32.8 peratus sektor pembuatan dan 27.1 peratus sektor perkhidmatan di peringkat nasional.

Beliau menjelaskan, kejayaan itu adalah hasil pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi tempoh 2021 hingga tahun lalu yang menyaksikan ekonomi negeri berkembang sebanyak 33.94 peratus atau RM116.6 bilion daripada RM343.5 bilion kepada RM460.1 bilion.

"Pencapaian itu bukan hanya hasil perancangan kerajaan negeri, sebaliknya didorong usaha bersama rakyat, penjawat awam dan pemain industri yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Selangor.

"Kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada agenda meningkatkan kemampuan hidup rakyat supaya kemajuan ekonomi yang dicapai dapat diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat," tambah beliau.