MUAR - Program pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama komuniti setempat pada 15 Jun lepas di sini tidak dibatalkan, sebaliknya berjalan lancar di lokasi alternatif yang lebih sesuai, kata Pegawai Daerah Muar, Zainal Eran.
Beliau berkata, program itu telah dipersetujui bersama untuk diadakan di Dataran Medan Selera Pantai Leka, pada jam 5.30 petang tarikh berkenaan, hasil perbincangan antara pihak pentadbiran daerah Muar dan Pejabat Pembangunan Negeri Johor.
Zainal berkata, peralihan tapak itu membuktikan tiada sebarang niat atau usaha untuk menghalang penganjuran program tersebut, malah lokasi baharu didapati lebih strategik dan berdekatan dengan golongan sasar seperti nelayan serta petani.
"Jadi itu (lokasi alternatif) menjelaskan bahawa kita tidak menghalang, cuma kita minta supaya program itu dialihkan ke tempat lain. Kita tidak mahu bangunan kerajaan dijadikan tempat berpolitik ataupun aktiviti-aktiviti politik," katanya ditemui Bernama di Pejabat Daerah Muar di sini pada Khamis.
Majlis berkenaan, katanya tetap menerima sambutan dan berjalan dengan jayanya menerusi kehadiran barisan pimpinan kerajaan Persekutuan, pegawai agensi berkaitan serta masyarakat luar bandar.
Beliau menjelaskan tindakan pentadbiran daerah yang tidak membenarkan penggunaan Kompleks Penghulu Mukim Sungai Balang pada awalnya adalah bersandarkan langkah pencegahan bagi mengekalkan prinsip berkecuali aset kerajaan.
Menurut Zainal, ketiadaan dokumen permohonan rasmi yang bertarikh awal selain maklumat atur cara yang terhad dalam tempoh notis kurang 24 jam, menyulitkan urusan penyelarasan logistik tempat secara teratur.
Zainal berkata, kebimbangan awal itu juga terbukti apabila tinjauan pada awal pagi 15 Jun mendapati kawasan sekitar lokasi baharu berkenaan telah dipenuhi dengan bendera parti politik, walaupun belum memasuki tempoh rasmi berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sehubungan itu, Zainal berkata, hak pertimbangan yang diambil oleh pihak berkuasa daerah adalah demi memastikan kemudahan awam milik kerajaan negeri tidak diheret ke dalam persepsi aktiviti kepartian.
Beliau turut menyeru semua pihak agar bersikap matang dengan menghentikan sebarang usaha mempolemikkan isu berkenaan memandangkan matlamat utama program mendekati rakyat telah pun dicapai dengan harmoni.
Sebanyak 172 calon bertanding dalam PRN Johor yang berlangsung pada 11 Julai, manakala pengundian awal pada 7 Julai. Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/. - Bernama