PUTRAJAYA – Nasi dikenal pasti sebagai makanan diproses atau dimasak yang paling banyak dibazirkan oleh rakyat Malaysia, ketika pembaziran makanan isi rumah di negara ini dianggarkan berada dalam julat 31.9 kilogram (kg) hingga 97.3kg bagi setiap kapita setahun.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, statistik itu menunjukkan isu pembaziran makanan masih membimbangkan dan memberi kesan terhadap keselamatan makanan, kecekapan penggunaan sumber, kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, analisis mengikut jenis makanan mendapati nasi mencatatkan kadar pembaziran tertinggi bagi makanan diproses atau dimasak iaitu 16.7 peratus, diikuti sayur-sayuran (15.8 peratus) dan makanan yang dibeli dari luar (13.8 peratus).
"Corak ini menunjukkan pembaziran makanan banyak melibatkan makanan segar yang mudah rosak serta makanan ruji yang lazim disediakan dalam kuantiti yang banyak.
Beliau berkata, dapatan Siaran Khas: Pembaziran Makanan Isi Rumah di Malaysia 2025 turut menunjukkan 79.3 peratus isi rumah masih membuang sisa makanan bersama-sama sisa isi rumah yang lain, manakala hanya 20.7 peratus mengamalkan pengasingan sisa makanan.
"Keadaan itu menunjukkan amalan pengasingan sisa makanan masih belum menjadi kebiasaan dalam kalangan isi rumah.
"Ia secara langsung memberi cabaran kepada usaha meningkatkan kecekapan pengurusan sisa organik dan mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan," katanya.
Menurutnya, kajian turut mendapati pembaziran lebih ketara melibatkan makanan diproses atau dimasak dengan 94.1 peratus isi rumah dilaporkan membuang kategori itu berbanding 88.7 peratus bagi makanan mentah.
"Bagi makanan mentah pula, sayur-sayuran merupakan kategori paling banyak dibazirkan iaitu 29.1 peratus, diikuti buah-buahan (22.4 peratus) serta ikan dan makanan laut (15 peratus)," katanya.
Tambahnya, makanan tamat tempoh dikenal pasti sebagai punca utama pembaziran makanan isi rumah dengan 19.3 peratus.
"Statistik ini diikuti lebihan makanan yang disimpan terlalu lama di dalam peti sejuk atau peti sejuk beku (18.1 peratus), pembelian secara berlebihan (15.2 peratus) dan memasak dalam kuantiti berlebihan (15.1 peratus)," katanya.
Katanya, penerbitan statistik itu diharap dapat menjadi asas kepada penggubalan dasar berasaskan bukti selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan pengurusan makanan yang lebih cekap demi menyokong agenda pembangunan mampan negara.