Kukuh ekosistem halal di rantau ASEAN

Iklan
Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucaptama sempena Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) ke-5 di Jakarta pada Jumaat.

JAKARTA - Malaysia mencadangkan penubuhan dan pelancaran Majlis Halal ASEAN di Malaysia direalisasikan pada September tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia selaras dengan bulan Halal Kebangsaan sebagai mekanisme baharu bagi mengukuhkan integrasi ekosistem halal di rantau ASEAN.

Iklan
Iklan

"Malaysia bersedia menjadi sekretariat majlis berkenaan manakala Indonesia dicadangkan sebagai pengerusi sulung, tertakluk kepada persetujuan negara-negara ASEAN.

“Kita tidak boleh menunggu lebih lama. Ekonomi halal bergerak pantas dan pasaran tidak akan menunggu kita untuk mengatur diri.

Iklan

“Antara sekarang dan ketika itu, kita perlu menyediakan mandat, tadbir urus dan penyampaian pertama majlis supaya ia bersedia untuk bertindak mulai hari pertama,” katanya ketika menjadi panel pada Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) ke-5 pada Jumaat.

Beliau berkata, Majlis Halal ASEAN tidak seharusnya sekadar menjadi satu lagi platform pertemuan, sebaliknya perlu berfungsi sebagai mekanisme memudahkan pergerakan produk halal merentasi rantau ini melalui pengurangan pertindihan, pengiktirafan lebih meluas dan hubungan lebih kukuh antara sistem halal negara anggota.

Iklan

“Pengiktirafan sahaja tidak mencukupi. Majlis ini juga perlu membantu perniagaan kita berkembang dengan menghubungkan syarikat yang diperakui halal kepada rantaian bekalan serantau, taman halal, pembiayaan, logistik dan akhirnya pasaran baharu,” jelasnya.

Berdasarkan data, sektor halal menyumbang hampir AS$20 bilion kepada ekonomi negara setakat Jun lalu bersamaan 7.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala jumlah syarikat yang mendapat pensijilan halal meningkat 12.4 peratus.

Perbelanjaan pengguna Muslim dalam enam sektor utama ekonomi Islam mencecah AS$2.6 trilion pada 2024 dan dijangka meningkat kepada sekitar AS$3.56 trilion menjelang 2029.

Sektor makanan halal juga telah menyumbang lebih AS$1.5 trilion dalam perbelanjaan.

Ahmad Zahid menambah, Majlis Halal ASEAN juga boleh menjadi salah satu asas penting ke arah penubuhan World Halal Development Council yang dicadangkan.

"Perbincangan mengenai usaha itu akan diteruskan pada Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) di Kuala Lumpur pada akhir bulan ini," katanya.