PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kerajaan Negeri Sembilan dan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim supaya lebih tuntas dalam pendirian, tidak berdolak-dalik atau tunduk kepada tekanan politik dalam menangani kemelut institusi diraja di negeri berkenaan.
Beliau menegaskan isu membabitkan usaha memakzulkan atau menurunkan raja bukan perkara kecil kerana negara berpegang kepada prinsip raja berperlembagaan dan menjunjung sistem beraja.
ARTIKEL BERKAITAN: Exco Negeri Sembilan umum Tuanku Muhriz diturunkan takhta, iktiraf Tuanku Nadzaruddin
Tindakan Exco Negeri Sembilan umum penurunan takhta Tuanku Muhriz perbuatan derhaka - Aminuddin
Exco Kerajaan Negeri Sembilan tidak boleh atasi UUTKNS - Undang Luak Rembau
[KRONOLOGI] Kemelut takhta Negeri Sembilan
"Kalau betul kita junjung Perlembagaan dan tahu prinsip negara ini yang berteraskan Melayu dan majoriti Melayu, kita jaga keharmonian ini,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Nur Perdana Presint 10 di sini pada Jumaat.
Pada Khamis, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April lepas tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).
AGC turut menegaskan Menteri Besar dan Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau telah membincangkan perkembangan di Negeri Sembilan dan meneliti kenyataan lengkap AGC berhubung perkara itu.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak menolak prinsip undang-undang yang terpakai di Negeri Sembilan serta adat mengenai sistem Yang Dipertuan Besar dan Undang, namun segala peraturan dan kaedah perlu dipatuhi sepenuhnya.
"...dan yang penting bagi kita sekarang ini kedudukan Yang Dipertuan Negeri tidak tergugat. Kita berdoa kepada ALLAH SWT mudah-mudahan Tuanku Muhriz dapat bersemayam dan jalankan tugas dengan baik.
"Kalau ada apa-apa usul daripada Undang dan sebagainya, ikut proses peraturan sepenuhnya...kita tidak campur selain daripada itu," katanya. - Bernama