SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis bunga ganja dianggarkan bernilai RM1.69 juta menerusi pemeriksaan bagasi daftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Isnin.
AKPS dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, rampasan itu merupakan hasil tindakan bersepadu dan kerjasama erat antara AKPS KLIA dan Aviation Security (AVSEC) dalam memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara serta membanteras aktiviti penyeludupan rentas sempadan.
Iklan
Iklan
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,691,200 dan kuantiti dadah berkenaan dipercayai mampu menampung penggunaan seramai 70,333 individu pada satu-satu masa," katanya.
Menurut kenyataan itu, suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada polis untuk siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa
"Kejayaan itu membuktikan keberkesanan kawalan keselamatan berlapis di pintu masuk dan keluar negara selain tahap kesiapsiagaan anggota penguat kuasa dalam mengesan cubaan penyeludupan menggunakan pelbagai modus operandi," katanya.
Menurut agensi itu, AKPS akan terus memperkukuh kawalan sempadan negara melalui pendekatan penguatkuasaan bersepadu, penggunaan teknologi pemeriksaan terkini serta kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan dadah dan jenayah rentas sempadan.
"AKPS tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan negara," katanya.