Pesara rugi lebih RM914,000 diperdaya pelaburan dalam talian

Iklan
Seorang pesara kerajaan kerugian RM914,209 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud - Gambar hiasan

MUKAH - Seorang pesara kerajaan kerugian RM914,209 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 56 tahun itu pada 2.20 petang semalam.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa tertarik dengan iklan pelaburan di Facebook menggunakan nama syarikat Arctic Tern Advisory pada 22 Disember 2025 sebelum berhubung dengan seorang individu dikenali sebagai Kamil.

"Mangsa kemudian dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp dikendalikan beberapa individu lain yang mendakwa mewakili syarikat berkenaan sebelum dipujuk melabur melalui platform dikenali Setia Capital Trading dengan modal permulaan RM300,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Menurutnya, suspek mendakwa pelaburan itu menggunakan sistem dagangan automatik berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang kononnya mampu menjana pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

Bagi meyakinkan mangsa, suspek memaparkan keuntungan pelaburan RM87,124 sebelum mengarahkan mangsa membuat pelbagai bayaran termasuk fi penebusan, perlindungan keselamatan bank dan penaiktarafan had transaksi bagi membolehkan keuntungan dikeluarkan.

Iklan

Muhamad Rizal berkata, mangsa melakukan 88 transaksi ke 32 akaun bank berbeza melibatkan enam institusi perbankan dari 22 Dis 2025 hingga 6 Mac 2026 dengan jumlah keseluruhan RM914,209.

Beliau berkata mangsa hanya menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan modal dan keuntungan dijanjikan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama