JOHANNESBURG – Ribuan penduduk berarak di beberapa bandar utama di Afrika Selatan pada Selasa bagi menuntut semua pendatang tanpa izin meninggalkan negara itu, susulan kempen berlarutan selama beberapa minggu yang mencetuskan ketegangan, keganasan dan perpindahan besar-besaran warga asing.
Polis mengawal ketat demonstrasi yang berlangsung di seluruh negara selepas kumpulan masyarakat menetapkan tarikh akhir tidak rasmi pada 30 Jun untuk pendatang tanpa dokumen meninggalkan Afrika Selatan.
Beberapa insiden terpencil dilaporkan berlaku termasuk tindakan membaling batu dan pergelutan berhampiran Johannesburg ketika anggota keselamatan mengiringi sekumpulan warga asing keluar daripada kawasan yang dikepung penunjuk perasaan.
Pihak berkuasa turut menahan beberapa individu kerana melakukan rompakan, manakala anggota tentera dikerahkan ke Johannesburg dan Durban bagi mengawal keadaan sehingga waktu malam.
Di pusat bandar Johannesburg, penunjuk perasaan membawa kayu dan bendera ketika berarak di jalan raya, sementara kebanyakan premis perniagaan ditutup, ramai pekerja tidak hadir bertugas dan hab pengangkutan awam lengang.
Di Durban, yang merupakan kawasan tradisi masyarakat Zulu, peserta demonstrasi mengenakan pakaian pahlawan tradisional sambil membawa lembing, cemeti dan perisai, malah sebahagian daripada mereka memakai kulit harimau bintang.
Seorang penunjuk perasaan, Brightness Gumbi, 48, berkata, beliau kecewa kerana tidak mampu menyewa premis perniagaan sedangkan pendatang tanpa izin didakwa mampu membuka kedai.
"Melalui hasil jualan dadah, mereka mampu membayar sewa premis. Saya berharap Presiden mendengar suara kami dan menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas," katanya.
Afrika Selatan, antara ekonomi terbesar di benua itu, terus menjadi destinasi utama pekerja asing walaupun berdepan kadar pengangguran melebihi 30 peratus, jenayah yang tinggi dan kemerosotan perkhidmatan awam.
Kumpulan yang mengetuai kempen antipendatang mendakwa warga asing tanpa dokumen merampas peluang pekerjaan dan membebankan perkhidmatan awam, namun penganalisis berpendapat mereka dijadikan kambing hitam terhadap kegagalan kerajaan menangani masalah ekonomi dan sosial.
Polis memaklumkan sekurang-kurangnya dua warga Mozambique, seorang warga Ethiopia dan seorang warga Malawi terbunuh dalam siri bantahan sejak beberapa minggu lalu.
Pada Selasa, seorang lagi warga asing dilaporkan maut selepas dipercayai terjun dari tingkat lapan sebuah bangunan di Durban kerana menyangka dirinya sedang dikejar.
Susulan keadaan yang semakin tegang, beberapa negara Afrika termasuk Nigeria, Malawi, Ghana, Zimbabwe, Mozambique dan Liberia mengatur penerbangan serta bas bagi membawa pulang rakyat masing-masing secara sukarela.
Kerajaan Liberia memaklumkan seramai 29 rakyatnya sedang diuruskan untuk pulang ke tanah air.
Pihak berkuasa sebelum ini berkata lebih 25,000 warga asing telah didaftarkan untuk meninggalkan Afrika Selatan dalam tempoh beberapa minggu lalu.
Menteri Kehakiman, Mmamoloko Kubayi berkata, hampir 4,300 warga asing dihantar pulang secara sukarela dalam beberapa hari kebelakangan ini, manakala lebih 400 lagi telah dihantar pulang melalui proses pengusiran.
Ketua kumpulan antipendatang March and March, Jacinta Ngobese-Zuma berkata, mereka akan terus mendesak kerajaan melaksanakan pengusiran besar-besaran.
"Kami mahukan pengusiran secara besar-besaran. Dalam tempoh enam bulan akan datang, kerajaan mesti menyingkirkan mereka yang masih belum meninggalkan negara ini," katanya sambil berjanji mengadakan demonstrasi setiap minggu sehingga pilihan raya tempatan pada November.
Sementara itu, ratusan pendatang, kebanyakannya dari Malawi dan Zimbabwe, masih berkumpul di Cape Town, Johannesburg dan beberapa bandar lain sementara menunggu bantuan untuk pulang ke negara asal.
Ramai daripada mereka mendakwa diusir pemilik rumah atau diberhentikan kerja kerana majikan bimbang dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa atau menjadi sasaran kumpulan antipendatang.
"Penduduk Afrika Selatan tidak mahukan kami lagi. Saya takut," kata seorang wanita Zimbabwe berusia 23 tahun yang enggan dikenali ketika menunggu proses penghantaran pulang di Cape Town.
Seorang lagi warga Malawi, Adam John, 32, berkata, beliau membuat keputusan pulang selepas jiran-jiran memberi amaran bahawa keadaan keselamatan semakin buruk.
"Saya fikir boleh terus tinggal di sini, tetapi jiran menasihatkan kami supaya pulang. Saya rasa lebih baik pulang sementara masih sempat," katanya.
Menjelang demonstrasi 30 Jun, Presiden Cyril Ramaphosa mengumumkan kerajaan akan memperketat kawalan sempadan serta meningkatkan pemeriksaan bagi membendung kebanjiran pendatang tanpa izin.
Afrika Selatan pernah menyaksikan rusuhan antipendatang yang meragut 62 nyawa pada 2008. – AFP