Madrasah An-Nuur rancang naik taraf fasiliti demi keselesaan pelajar

Iklan
Madrasah Tahfiz Al-Quran An-Nuur yang ditubuhkan pada 16 April 2000 kini menempatkan pelajar lelaki dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Thailand, Kemboja, Pakistan dan Bangladesh.

TANGKAK – Madrasah Tahfiz Al-Quran An-Nuur di Kesang Laut di sini merancang menaik taraf pelbagai kemudahan pembelajaran dan penginapan bagi memastikan lebih 110 pelajar mendapat persekitaran yang lebih selesa serta kondusif dalam usaha melahirkan generasi huffaz al-Quran berkualiti.

Guru Penolong Kanan Madrasah Tahfiz Al-Quran An-Nuur, Muaz Masral berkata, beberapa kemudahan di madrasah yang beroperasi sejak tahun 2000 itu memerlukan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf berikutan faktor usia serta pertambahan keperluan semasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara projek yang dirancang ialah menaik taraf siling dan tingkap asrama, membaik pulih sistem pembesar suara, pendawaian elektrik, laluan ke asrama dan surau serta pintu dewan.

“Turut diberi perhatian ialah penyediaan sebuah van untuk kegunaan pelajar dan warga madrasah, pemasangan pendingin hawa di dewan, penyediaan keperluan pembelajaran di dalam kelas serta menaik taraf dapur dan kantin.

Iklan

“Keseluruhan kos yang dianggarkan bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut adalah sekitar RM500,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, usaha menaik taraf kemudahan itu penting bagi memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara di samping mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan selamat.

Iklan

Madrasah Tahfiz Al-Quran An-Nuur yang ditubuhkan pada 16 April 2000 kini menempatkan pelajar lelaki dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Thailand, Kemboja, Pakistan dan Bangladesh.

Mengulas pencapaian institusi itu, Muaz berkata, lebih 700 pelajar berjaya menamatkan hafazan al-Quran dan memperoleh syahadah sejak penubuhannya.

“Malah pada Sabtu lalu, madrasah turut meraikan enam lagi pelajar yang berjaya menamatkan hafazan dan memperoleh syahadah.

“Visi kami adalah melahirkan generasi hamil al-Quran yang berkualiti, berakhlak serta berjiwa dai,” katanya.

Menurut beliau, Madrasah An-Nuur turut mencipta pelbagai kejayaan termasuk dinobatkan sebagai Madrasah Tahfiz Swasta Terbaik Negeri Johor serta melahirkan pelajar yang berjaya mewakili negeri hingga ke peringkat kebangsaan dalam pertandingan tilawah dan hafazan al-Quran.

Selain itu, katanya, madrasah berkenaan turut mencatat nama dalam Malaysia Book of Records menerusi projek Kembara Dua Juta Kalimah ALLAH yang disiapkan dalam tempoh sembilan hari menggunakan kertas lukisan sepanjang 177 meter dan selebar 0.58 meter.

Orang ramai yang ingin menyokong usaha pembangunan kemudahan Madrasah Tahfiz Al-Quran An-Nuur boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam atas nama Madrasah Tahfiz Al-Quran An-Nuur nombor akaun 01023010061392 atau hubungi Muaz di talian 011-14202036.