Heritage Fashion Week angkat Kebaya Selangor dan Kelingkan ke pentas fesyen

Iklan
Asfarena (tengah) bergambar bersama pereka fesyen dari Karyaneka, Kraftangan dan Jemel serta model yang memperagakan rekaan kebaya masing-masing

KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Penganjuran Heritage Fashion Week 2026 oleh Asfarena buat julung kali menampilkan Festival Showcase Kebaya Selangor dan Kelingkan sebagai usaha memperkasakan warisan tekstil Melayu.

Berlangsung tiga hari pada 27 hingga 29 Jun lalu, Festival berkenaan diadakan dengan kerjasama Kraftangan Malaysia melalui Karyaneka sebagai rakan strategik, dengan matlamat utama untuk menjenamakan identiti tekstil warisan Selangor menerusi Kebaya Selangor serta seni jahitan halus Kelingkan.

Iklan
Iklan

Pengasas Heritage Fashion Week, Datuk Asfarena Samion berkata, usaha memastikan tekstil warisan turun - temurun khususnya dari Selangor terus relevan dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat amat penting.

“Diakui, mencari generasi pelapis untuk meneruskan seni halus seperti Kelingkan bukanlah mudah. Namun, sepanjang tiga hari festival berlangsung, sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Iklan

“Kami menerima kira-kira 50 penyertaan bagi kelas jahitan Kelingkan,” katanya ketika ditemui media pada Festival Showcase Kebaya Selangor dan Kelingkan di Laman Wau, Kompleks Kraf Kuala Lumpur, pada Isnin.

Seni Kelingkan ialah seni sulaman benang logam (biasanya emas atau perak) yang dijahit di atas kain halus seperti baldu, sutera, atau songket.

Iklan

Ia digunakan untuk menghias selendang, tudung, baju kurung, tanjak, atau baju kebaya labuh. Menurutnya lagi, dalam arus kemodenan, Asfarena memilih untuk tidak meninggalkan warisan lama, sebaliknya menjadikannya sebagai asas dalam membina masa depan.

Ujar beliau, sesuatu warisan itu perlu terus diangkat, dipentaskan dan diraikan.

“Justeru, saya mahu berkongsi ilmu serta pengalaman hampir 30 tahun dalam bidang seni jahitan halus ini kepada generasi seterusnya.

Kebaya Selangor merupakan pakaian tradisional wanita Melayu di negeri tersebut yang berakar daripada budaya istana dan masyarakat Melayu lama. Ia menampilkan potongan labuh, longgar dan sopan serta dihiasi sulaman halus, dan lazimnya dipadankan dengan kain batik, songket atau telepuk yang melambangkan keanggunan serta warisan budaya negeri.

Turut hadir merasmikan festival ialah Penaung Kebaya Selangor dan Kelingkan ialah Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi Azman Shah.

Beliau berkata, usaha memartabatkan Kebaya Selangor dan seni kelingkan yang menampilkan motif bunga Tanjung pecah sembilan sebagai identiti negeri wajar dipelihara dan diteruskan oleh generasi muda.

“Selain mengetengahkan identiti tekstil Selangor, penganjuran festival seperti ini penting bagi memastikan seni halus ini tidak luput ditelan zaman,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar usaha memartabatkan seni warisan diperkukuh sejak di bangku sekolah melalui penubuhan kelab atau aktiviti kokurikulum berkaitan seni tradisi.

Selain memberi pendedahan dan memastikan kesinambungan budaya, festival ini juga membuka ruang kepada pemain industri untuk menjalinkan kerjasama strategik.

Pengurus Besar Karyaneka, Hairul Nizam Mohd Amran berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penganjuran festival tersebut yang dilihat mampu mempromosikan produk tekstil tempatan kepada pengunjung dalam dan luar negara.

“Kami berbesar hati menjadi rakan strategik dalam kolaborasi ini dan berharap lebih banyak kerja seni tekap kelingkan dapat dihasilkan dalam pelbagai bentuk termasuk aksesori harian serta dipasarkan secara meluas dengan harga yang mampu milik untuk semua.

“Karyaneka juga ada mengeluarkan 11 koleksi terhad termasuk kain pasang dengan motif bunga pecah sembilan dan kerongsang khas berwarna Selangor yang boleh didapati di semua 11 cawangan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali berkata, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) aktif memperkasa penubuhan kelab senikraf di peringkat sekolah.

“Setiap negeri memiliki identiti kraf yang tersendiri, melalui penubuhan kelab senikraf di sekolah ia membolehkan pelajar termasuk yang bukan dari aliran seni meneroka pelbagai jenis kraf secara praktikal, bukan hanya secara teori dalam buku,” katanya.