Pegawai kanan penguat kuasa ditahan minta rasuah RM50,000

Iklan
Seorang pegawai kanan agensi penguat kuasa direman untuk membantu siasatan kes rasuah RM50,000. Foto: SPRM

SHAH ALAM - Seorang pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa direman tiga hari kerana disyaki meminta rasuah kira-kira RM50,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat yang memiliki kenderaan tidak berdaftar.

Perintah reman sehingga 2 Julai telah dikeluarkan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Mahkamah Majistret Shah Alam di sini pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an telah ditahan kira-kira jam 5 petang, Isnin di sekitar Lembah Klang.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 23 Jun lalu dan telah meminta wang rasuah sebanyak RM50,000 untuk menutup kes syarikat tersebut.

Iklan

“Bagaimanapun selepas itu suspek telah bersetuju untuk menerima wang rasuah secara tunai sebanyak RM15,000 setelah diminta untuk mengurangkan bayaran daripada RM50,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Iklan

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.