Tekup muka kekasih guna bantal hingga maut, bekas mekanik dijel 32 tahun

Iklan
Amirul Amin memakai baju-T putih ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Klang selepas dijatuhi hukuman penjara 32 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh kekasihnya dengan menekup muka mangsa menggunakan bantal.

KLANG – Perbuatan kejam seorang bekas mekanik membunuh kekasihnya menggunakan bantal, hanya kerana diminta menandatangani surat perjanjian supaya tidak meninggalkan wanita itu, mengundang padah apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara 32 tahun dan 12 sebatan.

Amirul Amin Amirruddin, 23, dikenakan hukuman tersebut selepas Hakim, Norliza Othman mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang memakai baju-T berwarna putih, dipenjara bermula tarikh tangkap, 24 Ogos 2022.

Semasa membaca keputusan, Norliza berkata, laporan bedah siasat mengesahkan mangsa, Nurul Shahira Abdullah, 24, meninggal dunia akibat sesak nafas selepas mukanya ditekup menggunakan bantal.

Iklan

Menurutnya, berdasarkan Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan, pendakwaan tidak perlu membuktikan tertuduh berniat membunuh, sebaliknya memadai menunjukkan tertuduh mengetahui tindakannya amat berbahaya sehingga boleh menyebabkan kematian atau kecederaan serius.

"Tertuduh sendiri mengakui ketika menekup muka si mati, dia melihat mangsa bernafas perlahan dan tersekat.

Iklan

"Dia juga mengetahui tindakan itu boleh menyebabkan mangsa gagal bernafas kerana keseluruhan muka ditutup dengan bantal," katanya.

Hakim berkata, tertuduh hanya menghentikan perbuatannya selepas mendapati mangsa tidak lagi melawan dan tidak bernafas.

Beliau berkata, berdasarkan fakta kes, kejadian itu berpunca daripada pertengkaran selepas tertuduh enggan menandatangani surat perjanjian yang diminta mangsa supaya tidak meninggalkannya.

Menurutnya, semasa pemeriksaan balas, tertuduh bersetuju bahawa, ada cara lain untuk menenangkan mangsa dan bukannya menekup mukanya menggunakan bantal.

"Justeru, mahkamah mendapati tiada unsur provokasi melampau yang boleh dijadikan alasan terhadap tindakan tertuduh.

"Selain itu, dia mempunyai masa untuk berfikir dan memilih tindakan yang lebih rasional," katanya.

Norliza turut memutuskan pembelaan tertuduh yang memberi keterangan secara bersumpah hanyalah penafian semata-mata.

Semasa rayuan mengurangkan hukuman, peguam, Mohd Norazihan Adnan yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya masih muda, menunjukkan perubahan positif ketika dalam tahanan dan berjaya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan yang membanggakan.

"Saya mohon dia dikenakan hukuman minimum," kata peguam.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aqilah Ahmad Fuad mencadangkan, tertuduh dikenakan hukuman mati.

"Ini kerana, kematian mangsa berlaku dalam keadaan kejam dan menyeksakan malah tertuduh berterusan menekan bantal ke muka walaupun wanita itu bergelut untuk bernafas," katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Amirul Amin didakwa membunuh Nurul Shahira di sebuah rumah di Lorong Haji Mahat, Kampung Sri Pandan, di sini, jam 7.18 petang pada 24 Ogos 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika hukuman mati tidak dikenakan.

Sebelum ini, tertuduh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, pada 17 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan rayuan pihak pendakwaan, untuk mengetepikan sabitan itu dan memerintahkan Amirul Amin membela diri atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.