KUALA LUMPUR - Rangkaian sindiket penjualan dan pengedaran minuman keras tiruan berjenama dan tidak bercukai dibongkar menerusi serbuan dua lokasi di sekitar Lembah Klang dengan rampasan mencecah RM1.65 juta, Khamis lalu.
Operasi Op Taring Alpha 2 itu digerakkan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Bahagian Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Komander WCB Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, serbuan bermula jam 2 petang di Kepong, Kuala Lumpur dan Bandar Utama, Petaling Jaya bertindak menahan dua lelaki membabitkan warga tempatan dan Sri Lanka.
Menurutnya, sejumlah 11,496 tin dan 9,737 botol minuman keras pelbagai jenama terkemuka di pasaran yang disyaki tiruan dan tidak bercukai kastam telah dirampas.
"Pasukan serbuan turut menyita empat buah kenderaan iaitu tiga lori jenis bonded dan sebuah van jenis Toyota Hiace yang digunakan untuk tujuan pengedaran, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM1,656,140," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, serbuan ini berjaya menumpaskan ahli sindiket yang menjadikan premis stor sebagai lokasi kegiatan penyimpanan, penjualan dan pengedaran minuman keras tiruan berjenama serta tidak bercukai kastam.
Jelasnya, kedua-dua suspek memainkan peranan penting dalam pergerakan logistik sindiket berkenaan di sekitar Lembah Klang.
"Hasil soal siasat awal, suspek warga tempatan dipercayai bertindak sebagai penyelaras dan penjaga stor sejak Jun 2025 dengan upah RM3,000 sebulan dengan menerima arahan secara langsung daripada seorang ketua sindiket tempatan.
"Suspek kedua warga Sri Lanka dipercayai mula bekerja sejak Januari lalu dengan upah RM2,500 sebulan sebagai penjaga stor dan penghantar bekalan kepada pembeli," katanya.
Tambah beliau, kejayaan ini sekali gus berjaya mengekang kerugian hasil cukai negara serta memutuskan terus rangkaian sindiket berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019.