PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, bersama isteri dan tiga anaknya mengisytiharkan harta masing-masing dalam tempoh sebulan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009 akan diserahkan secara rasmi kepada mereka menerusi serahan tangan pada Isnin depan.
“Saravanan dan keluarganya telah dimaklumkan mengenai perkara ini. Beliau, isteri dan dua anaknya akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada pagi Isnin bagi tujuan penyerahan notis.
“Penyerahan notis kepada seorang lagi anaknya akan dibuat pada November kerana beliau masih melanjutkan pengajian di London,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Tapah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah hampir RM1.09 juta yang dikaitkan dengan kelulusan kuota 1,000 pekerja asing bagi sebuah syarikat empat tahun lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Abd Halim berkata, SPRM masih belum menerima maklum balas berhubung pengisytiharan harta daripada bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan ahli keluarganya.
“Tempoh sebulan masih belum berakhir. Notis berkenaan baru diserahkan pada 15 September lalu,” katanya.
Beliau berkata, Azeez serta ahli keluarganya dikehendaki mengisytiharkan harta masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan bagi membolehkan SPRM menjalankan proses semakan lanjut.