Suami isteri rebah, tersalah makan kulat liar disangka 'kulat tahun'

Iklan
Kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Kecemasan Hospital Sik untuk menerima rawatan lanjut. Foto Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia

SIK – Sepasang suami isteri mengalami keracunan makanan dipercayai akibat tersalah memakan kulat liar yang disangka 'kulat tahun' dalam kejadian di Kampung RTP Padang Besar, Padang Cicak, Mukim Jeneri di sini pada Ahad.

Mangsa yang kedua-duanya berusia 28 tahun itu dipercayai memasak kulat beracun itu yang ditemui sebelum menjadikannya sebagai hidangan tengah hari.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, tidak lama selepas menikmati hidangan tersebut, kedua-duanya mengalami simptom keracunan makanan termasuk muntah dan cirit-birit yang teruk sehingga menjadi lemah dan ditemui rebah di dalam bilik air rumah mereka.

Pengerusi Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abd Hamid berkata, satu panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 4.40 petang.

Iklan

Menurutnya, dua ambulans bersama lima anggota digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira 12 minit kemudian.

“Bantuan menyelamat segera dilaksanakan oleh lima anggota BSYJM menggunakan peralatan khas,” katanya pada Isnin.

Iklan

Mahadzir berkata walaubagaimanapun, operasi berkenaan berdepan cabaran kerana kedua-dua mangsa mempunyai berat keseluruhan dianggarkan sekitar 280 kilogram selain ruang rumah yang agak sempit.

Jelasnya, proses mengeluarkan mangsa dari rumah mengambil masa kira-kira 20 minit dengan menggunakan peralatan khas sebelum mereka berjaya dipindahkan ke ambulans.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Kecemasan Hospital Sik untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Operasi menyelamat berkenaan tamat sepenuhnya pada jam 7 malam.