SEREMBAN - Program Bakat Madani mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir.
Ketua Pegawai Korporat dan Penasihat Undang-Undang Khazanah Nasional Berhad, Datuk Mohamed Nasri Sallehuddin berkata, usaha memperkasa TVET tidak boleh dipikul oleh sebuah institusi semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
"Persepsi bahawa TVET merupakan pilihan kedua masih wujud, namun keadaan itu mampu diubah menerusi latihan berkualiti serta kerjasama pelbagai organisasi.
"Negara-negara Eropah seperti Jerman telah membuktikan bahawa TVET merupakan antara laluan utama melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan Malaysia juga perlu bergerak ke arah tersebut,'katanya.
Beliau turut berharap lebih banyak syarikat swasta tampil menyediakan peluang pekerjaan dan bimbingan kepada graduan TVET supaya mereka dapat membina kerjaya yang lebih cerah.
Jelasnya, di bawah program K-Youth yang diperkenalkan Khazanah sejak 2023, lebih 35,000 peserta telah mendapat manfaat, manakala di bawah Bakat Madani, seramai 15,000 peserta lagi disasarkan menjelang 2027.
Selain itu, Pengurus Besar Kanan Pendidikan dan Pelaburan Modal Insan Petronas, Akmal Niza Ahmad berkata, syarikat itu menyasarkan penglibatan antara 2,500 hingga 3,000 belia menerusi pelbagai inisiatif pembangunan bakat bersama organisasi dan rakan ekosistem.
Katanya, komitmen tersebut merangkumi laluan TVET, peningkatan kebolehpasaran graduan serta latihan industri yang dilaksanakan melalui pelbagai program pembangunan bakat di bawah Kumpulan Petronas.
"Antara inisiatif utama ialah Program Pembangunan Bakat Berkemahiran Vokasional Bersepadu (VISTA i-Plus), Skim Peningkatan Kebolehpasaran Graduan (GEES) dan program latihan industri.
"Kesemua inisiatif ini membentuk ekosistem pembangunan bakat yang menyeluruh, bermula daripada pembangunan kemahiran, pendedahan kepada industri sehingga meningkatkan kesiapsiagaan belia memasuki alam pekerjaan," katanya.
Beliau berkata, fokus Petronas bukan sekadar meningkatkan jumlah penyertaan, sebaliknya melahirkan lebih ramai belia yang berkemahiran, bersedia memasuki pasaran kerja dan mampu membina kerjaya yang mampan untuk jangka panjang.
Sementara itu, di bawah program Bakat Madani, Lembaga Tabung Haji (TH) bakal melancarkan Program Daya Insani, iaitu inisiatif strategik bersama Bank Islam yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan belia asnaf dan anak yatim menerusi latihan kemahiran, pendedahan industri serta penempatan pekerjaan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, program itu diwujudkan bagi memastikan golongan sasaran mendapat laluan pembangunan kerjaya yang tersusun bermula daripada latihan sehingga memperoleh pekerjaan.
"Kita mahu memperkasakan belia asnaf dan anak yatim. Mereka bukan sahaja akan mengikuti latihan kemahiran khusus, malah diberikan pendedahan industri sebelum ditempatkan bekerja dengan rakan industri kami.
"Kita juga telah mengumpulkan kira-kira RM2 juta menerusi dana pembiayaan awam (crowdfunding) bagi melaksanakan program ini dan pada peringkat awal seramai 150 peserta dipilih," katanya.
Menurut Mustakim, bidang TVET kini bukan lagi pilihan terakhir, sebaliknya berpotensi menjadi pilihan utama bagi belia yang berminat dalam bidang teknikal dan profesional.
Beliau turut berpendapat, golongan belia kini semakin terbuka untuk menceburi bidang tersebut kerana ia menawarkan peluang kerjaya yang baik serta masa depan yang lebih cerah.
"Ini merupakan pelaburan jangka panjang untuk mengubah masa depan belia asnaf dan anak yatim supaya mereka mampu meningkatkan taraf hidup keluarga serta menyumbang kepada pembangunan negara," katanya.