Antonelli juara dunia termuda F1

Iklan
Antonelli memastikan gelaran sulungnya menerusi penamat tempat ketiga di GP Mexico City. Foto Agensi

KIMI Antonelli mencipta sejarah baharu Formula Satu (F1) apabila muncul juara dunia termuda dalam sejarah sukan permotoran itu selepas mengesahkan kejuaraan musim 2026 di Grand Prix (GP) Mexico City, awal pagi Isnin.

Pelumba Mercedes-AMG Petronas berusia 20 tahun 68 hari itu memastikan gelaran sulungnya menerusi penamat tempat ketiga dalam perlumbaan yang dimenangi Max Verstappen dari Red Bull, manakala Lewis Hamilton (Ferrari) berada di kedudukan kedua.

Iklan
Iklan

Kejayaan itu menyaksikan Antonelli memadam rekod Sebastian Vettel yang muncul juara dunia termuda pada usia 23 tahun 134 hari bersama Red Bull pada 2010.

Lebih istimewa, Antonelli turut menjadi pelumba Itali pertama memenangi kejuaraan dunia F1 sejak Alberto Ascari melakukannya pada 1953, sekali gus menamatkan penantian 73 tahun negara itu.

Iklan

Dengan kelebihan 119 mata yang tidak lagi mampu dipintas pencabar terdekat, Antonelli mengesahkan kejuaraan ketika musim masih berbaki empat perlumbaan.

"Ini musim yang luar biasa dan berkongsi podium bersama Max serta Lewis menjadikan detik ini lebih istimewa," katanya selepas perlumbaan.

Iklan

Max Verstappen dan Lewis Hamilton menjulang Antonelli yang mengesahkan kejuaraan F1 di GP Mexico City ketika saingan berbaki empat perlumbaan. Foto Agensi

Antonelli turut mengakui sokongan pasukan Mercedes dan keluarganya memainkan peranan besar dalam perjalanan menuju kejuaraan dunia pertama itu.

"Saya tidak mungkin berada di sini tanpa Mercedes dan keluarga saya. Saya sangat bersyukur dengan detik ini dan ia akan kekal dalam ingatan saya sepanjang hayat," katanya.

Sementara itu, prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff menyifatkan Antonelli mempunyai segala ciri untuk muncul antara pelumba terhebat dalam sejarah F1.

Wolff berkata, pelumba muda itu sudah membuktikan kemampuannya selepas mengatasi pelbagai kritikan susulan keputusan Mercedes memberikan tempat kepadanya ketika masih terlalu muda.

Beliau turut yakin Antonelli mampu memburu lebih banyak kejuaraan sekiranya Mercedes terus menyediakan jentera kompetitif.

"Budak ini tidak perlu membuktikan apa-apa lagi. Dia sudah membuktikan dalam tempoh lapan tahun terakhir bahawa dia antara yang terbaik," kata Wolff.

Kejayaan Antonelli hadir dalam musim keduanya di F1 selepas membuat penampilan sulung pada 2025, sekali gus mengukuhkan keputusan Mercedes mempertaruhkannya sebagai pengganti Hamilton yang menyertai Ferrari.