TANGGA BATU - Suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dilihat masih 'suam-suam kuku' termasuk ketiadaan perang bendera secara besar-besaran pada awalnya bukan petanda jentera parti tidak bergerak, sebaliknya pemasangan bahan kempen secara rasmi hanya bermula selepas proses penamaan calon selesai.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, keadaan itu berlaku di Melaka yang mengamalkan budaya politik secara sihat tanpa hasad dengki atau unsur hasut-menghasut.
Menurutnya, pemasangan bendera mula rancak sejak malam selepas penamaan calon dan dijangka lebih meriah dalam tempoh dua hingga tiga hari berikutnya.
"Kita tidak ada apa yang hendak diperangi. Seperti kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kita berpolitik secara sihat tanpa hasad dengki atau hasut-menghasut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pelancaran Pemasangan Bendera Jentera Pemuda BN Parlimen Tangga Batu di sini pada Ahad.
Pada program itu, Rais berkata, sebanyak 15,000 batang buluh bersama bendera BN akan dipasang bagi membirukan seluruh kawasan Parlimen Tangga Batu yang merangkumi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Udang, Klebang, Pantai Kundor dan Paya Rumput.
Pelancaran itu turut disertai calon BN bagi DUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong dan calon DUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi.
Dalam pada itu beliau berkata, jentera BN di Parlimen Tangga Batu juga sudah menyelaraskan gerak kerja menerusi mesyuarat bersama Friends of BN bagi memastikan persiapan menghadapi PRN berjalan lancar.
"Saya bersyukur kerana setakat ini kita dapat melihat penyatuan yang baik dan kesepaduan dalam gerak kerja amat penting.
"Saya yakin semangat jitu BN sejak sekian lama akan menjadi kekuatan, terutama kepada akar umbi di Parlimen Tangga Batu," katanya.
Mengulas sama ada jumlah bendera itu mampu menjadikan Tangga Batu lebih meriah berbanding kawasan lain, Rais yang calon BN DUN Sungai Udang berkata, yakin jentera di semua kawasan Parlimen turut bergerak aktif.
Katanya, pemasangan bendera juga sudah bermula di kawasan Masjid Tanah selain Alor Gajah, Jasin, Kota Melaka dan Hang Tuah Jaya.