SHAH ALAM – Lawatan delegasi Grup Buku Karangkraf (GBK) ke Seoul International Book Fair (SIBF) 2026 di COEX, Seoul, Korea Selatan bukan sekadar membuka ruang kerjasama baharu dalam industri penerbitan, malah memberi inspirasi memperkukuh budaya membaca.
Pengurus Penerbitan GBK, Azzah Abdul Rahman berkata, antara perkembangan paling signifikan ialah pertemuan bersama penulis buku Fenomena K: Bagaimana Korea Mendunia, Dr Kenny Bae Kihyung yang juga Penerbit Kanan Korean Broadcasting System (KBS).
“Selain itu, kami turut berbincang usaha melibatkan Kedutaan Korea Selatan di Malaysia dalam Festival Novel Malaysia yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 September depan di Kompleks Karangkraf, Shah Alam,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, pasukannya turut mengadakan perbincangan bersama ejen sastera bagi memuktamadkan beberapa judul untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, selain meneroka peluang menerbitkan karya tempatan di Korea Selatan.
Lebih menarik, katanya, lawatan itu turut memberi peluang kepada delegasi melihat sendiri inisiatif kerajaan Korea Selatan dalam memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
“Kami mengunjungi kedai buku dan menyertai acara Seoul Outdoor Library di Dataran Gwanghwamun yang menyediakan kemudahan kepada orang ramai membaca buku secara santai di ruang terbuka.
“Acara anjuran kerajaan tempatan itu jelas menunjukkan Korea Selatan begitu serius dalam mengekalkan minat membaca dalam kalangan rakyatnya,” katanya.
Mengenai trend di negara K-Pop itu, Azzah berkata, trend pembacaan kekal konsisten sejak lebih sedekad lalu dengan tema healing mendominasi pasaran.
“Tema itu diterapkan sama ada dalam novel, esei atau buku kanak-kanak kerana tuntutan hidup masyarakat Korea yang terlalu tinggi dari segi ekonomi dan sosial.
“Kami dapati lapan daripada 10 novel terlaris di sini membawa tema yang sama, selain menawarkan solusi terhadap cabaran kehidupan masyarakat yang berdepan tekanan ekonomi serta sosial,” ujarnya.
Tambahnya, pemerhatian itu menjadi petunjuk penting dalam mengenal pasti karya yang berpotensi mendapat sambutan pembaca.
Tambahnya, lawatan kali ini turut membuka perspektif baharu terhadap pembangunan harta intelek (IP) yang lebih strategik, termasuk memperluaskan karya ke pelbagai platform seperti terjemahan, adaptasi drama atau filem, webtoon dan produk berlesen.
“Memandangkan terdapat banyak persamaan antara budaya Korea dan budaya Melayu, kami percaya banyak pendekatan di sana boleh disesuaikan dalam ekosistem penerbitan Karangkraf,” katanya.