[VIDEO] KKM, KESUMA bincang buka pusat rehabilitasi PERKESO kepada pesakit awam

Iklan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang memperincikan langkah segera bagi membolehkan pesakit awam, termasuk kanak-kanak yang mengalami Palsi Serebrum (CP) mendapatkan rawatan di pusat rehabilitasi bertaraf dunia milik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

Iklan
Iklan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama rentas kementerian bagi mengoptimumkan penggunaan kemudahan rehabilitasi sedia ada, sekali gus mengurangkan kesesakan serta menangani kekurangan kepakaran di pusat rehabilitasi KKM.

Menurutnya, antara kekangan yang perlu diselesaikan ialah aspek perundangan memandangkan pusat rehabilitasi PERKESO tertakluk di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) yang hanya membenarkan rawatan kepada pencarum, manakala KKM pula beroperasi di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Iklan

"Saya memandang sangat mustahak untuk kita segera menangani kekangan ini. Sektor rehabilitasi di bawah PERKESO menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia dan berteknologi tinggi seperti Neuro-Robotics dan program Walk Again.

"Justeru saya mencadangkan perbincangan segera diteruskan bagi membolehkan KKM melaksanakan Program Penyusunan Luar Perkhidmatan Kesihatan (HSOP).

Iklan

"Melalui program ini, kita dapat memanfaatkan segala fasiliti ‘state-of-the-art’ PERKESO, bukan hanya untuk pencarum, tetapi boleh merawat pesakit-pesakit lain (bukan pencarum),” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Menjawab soalan tambahan mengenai pelan tindakan kesihatan bagi mengurangkan kes CP dan memperkasa pesakit kategori ringan, Dzulkefly mememaklumkan, KKM merekodkan sebanyak 1,076 kes CP di fasiliti kesihatan di bawah kementerian bagi tempoh 2016 hingga 2025.

Beliau menjelaskan, punca CP boleh dibahagikan kepada tiga fasa utama iaitu sebelum kelahiran (prenatal), semasa kelahiran (perinatal) dan selepas kelahiran (postnatal).

"Bagi fasa prenatal, keadaan itu lazimnya berpunca daripada jangkitan. Justeru KKM menyediakan vaksinasi MMR kepada ibu mengandung bagi mengurangkan risiko jangkitan Rubella yang boleh menjejaskan janin.

"Fasa perinatal pula, ia berkait rapat dengan keadaan Hypoxic-Ischemic Encephalopathy (HIE) atau kekurangan bekalan oksigen ke otak ketika proses kelahiran, manakala fasa postnatal membabitkan jangkitan kuman ke otak selepas bayi dilahirkan.

"Oleh yang demikian, KKM komited memperkasakan usaha saringan awal, rawatan intensif dan program rehabilitasi pelbagai disiplin bagi memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada menerima rawatan," ujarnya.