Calon 'recycle' BN bukan penipu, mampu berkhidmat kepada rakyat

Iklan
Nur Jazlan ketika ditemui pemberita selepas Program Ramah Mesra Bersama Warga Pangsapuri Bukit Saujana, pada Ahad. Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Calon Barisan Nasional (BN) yang didakwa calon 'recycle' atau kitar semula adalah jauh lebih baik berbanding calon recycle yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed Rahmat berkata, calon BN adalah calon yang mampu memberi khidmat terbaik dan ikhlas berkhidmat kepada penduduk setempat.

Iklan
Iklan

"PH pun letak calon 'recycle', mereka letak calon yang tidak dikenali orang ramai, kemudian apabila telah menang sepenggal mereka lari ke tempat lain. Calon terdahulu diletakkan di tempat lain, mereka buat begitu kerana tiada niat berkhidmat kepada masyarakat, mereka tukar-tukar calon.

"Jadi calon mana yang lebih baik? Calon 'recycle' yang ambil perhatian isu-isu rakyat dikawasan berkenaan atau calon 'recycle' yang akan bertukar-tukar kerusi ditandingi," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Warga Pangsapuri Saujana bersama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Pangsapuri Bukit Saujana, di sini pada Ahad.

Menurut Nur Jazlan, tindakan pemimpin PH yang bertanding di sesuatu kerusi pada satu pilihan raya, sebelum berpindah ke kerusi lain pada pilihan raya berikutnya dilihat lebih mementingkan kepentingan peribadi berbanding tanggungjawab terhadap rakyat yang diwakili.

Iklan

Justeru, beliau mengingatkan supaya rakyat tidak tertipu lagi dan memilih wakil rakyat yang betul-betul prihatin dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

"Contohnya di DUN Perling, kita letak calon tempatan yang pernah memberikan khidmat sebagai ahli majlis selama 10 tahun, dengan azam untuk dia berkhidmat kepada masyarakat di sini.

"Siapa yang PH dan DAP letak (Perling)? Calon yang kalah dekat Yong Peng pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, sekarang bertanding di sini.

"Samalah, 'kepala' mereka (DAP), Liew Chin Tong, mana dia pergi? Hilang? Datang ke Perling bertanding pada 2022 untuk cari pencen tambahan. Dia memang terkenal sebagai calon katak, daripada Pulau Pinang ke Kluang lepas itu Ayer Hitam, lepas itu ke tempat selamat di Iskandar Puteri.

"Apa yang berlaku pada Marina Ibrahim (penyandang kerusi DUN Skudai), dah buktikan bahawa DAP ini gunakan Marina untuk mengelirukan orang Melayu lepas itu nak dipindahkan ke tempat lain," katanya.

Pada Rabu lalu, Onn Hafiz mengumumkan senarai 56 calon BN yang bertanding pada PRN Johor Ke-16, namun terdapat pemimpin politik yang mendakwa senarai calon BN itu kebanyakkannya adalah calon 'recycle'.