PH perlu selesai janji terdahulu sebelum umum manifesto baharu - Onn Hafiz

Iklan
Onn Hafiz (tengah) pada Program Ramah Mesra bersama Penduduk Pangsapuri Bukit Saujana, pada Ahad.

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) disarankan menunaikan terlebih dahulu janji-janji yang pernah dibuat kepada rakyat Johor sebelum mengemukakan manifesto baharu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, mengumumkan manifesto adalah lebih mudah berbanding melaksanakan setiap janji yang ditawarkan kepada rakyat.

Iklan
Iklan

Katanya, pelaksanaan sesuatu manifesto menjadi ukuran keikhlasan sesebuah kerajaan dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.

"Kemudian Hospital Pasir Gudang (HPG), dari segi doktor, jururawat dan penjawat di situ, mereka kata nak pastikan capai 100 peratus selesai Jun tahun ini, tetapi sampai hari ini tidak selesai.

Iklan

"Saya rasa untuk mereka nak menjanjikan sesuatu itu, orang dah tak percaya," katanya ketika Program Ramah Mesra bersama Penduduk Pangsapuri Bukit Saujana di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, P Pannir Selvam.

Iklan

Mengulas mengenai manifesto BN yang diumumkan beliau pada Jumaat lalu, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar berkata, manifesto itu adalah kesinambungan daripada enam teras Maju Johor yang diumumkan pada 2022.

"Ini adalah kesinambungan daripada pelbagai inisiatif-inisiatif yang kita teruskan dari segi agenda perumahan, agenda orang muda dan Bantuan Kasih Johor," katanya.

Dalam masa sama, penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata, parti-parti lain mungkin berdepan kesukaran untuk menawarkan manifesto yang meyakinkan kerana kebanyakan janji yang dikemukakan hanyalah janji manis tanpa jaminan pelaksanaan.

Menurutnya, sepanjang tempoh kempen PRN kali ini, BN akan terus mengekalkan suasana harmoni bagi memastikan proses demokrasi berlangsung dalam keadaan aman dan tertib.

"Kita akan terus mendekati rakyat kerana kita bukan Kerajaan Perpaduan. Kita sedar kedudukan kita sebagai 'underdog' dan akan terus bekerja keras untuk menyantuni seramai mungkin rakyat Johor," katanya.