JOHOR BAHRU – Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied, 26, menegaskan usia muda bukanlah kelebihan utama yang dipertaruhkannya untuk meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16.
Sebaliknya, Ketua Pegawai Pusat Khidmat DUN Puteri Wangsa itu berkata, kekuatannya terletak pada pemahaman terhadap keperluan masyarakat setempat, selain membawa nilai integriti, kejujuran dan semangat untuk berkhidmat kepada penduduk Puteri Wangsa.
"Saya percaya kelebihan saya bukan bergantung kepada usia, tetapi sejauh mana saya mengenali Puteri Wangsa.
"Usia saya mungkin mencerminkan tenaga dan semangat yang saya miliki, namun saya berharap pengundi melihat saya lebih daripada sekadar umur.
"Apa yang mungkin kurang daripada segi usia, saya akan pastikan ia digantikan dengan integriti.
"Apa yang mungkin kurang daripada segi pengalaman, saya akan pastikan ia diimbangi dengan kejujuran yang saya bawa untuk memimpin Puteri Wangsa," katanya selepas selesai proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon DUN Puteri Wangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Dato Onn di sini pada Sabtu.
Menurut Rashifa, antara isu utama yang akan menjadi fokus kempennya ialah kos sara hidup yang semakin meningkat, khususnya melibatkan harga makanan dan perumahan di Johor Bahru.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan golongan muda berdepan kesukaran untuk memiliki kediaman sendiri.
"Kita melihat harga makanan dan rumah kini hampir menyamai Kuala Lumpur. Saya membesar di Johor Bahru ketika kos sara hidup masih berpatutan.
"Sebagai anak muda berusia 26 tahun, saya sendiri merasakan memiliki rumah dalam tempoh 10 tahun akan datang bukan sesuatu yang mudah.
"Saya mahu berusaha mengubah keadaan itu sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat," katanya.
Selain itu, Rashifa juga mahu memberi perhatian terhadap isu banjir yang disifatkannya sebagai antara masalah utama di Puteri Wangsa.
Katanya usaha membantu mangsa perlu diteruskan, namun langkah pencegahan jangka panjang lebih penting bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang pada masa depan.
"Saya merasakan tanggungjawab yang besar untuk memikul amanah sepanjang empat tahun akan datang, jika dipilih oleh rakyat.
"Fokus saya adalah memastikan setiap perkara yang saya perjuangkan benar-benar mewakili suara rakyat Puteri Wangsa," katanya.
Rashifa akan berdepan empat pencabar di DUN Puteri Wangsa iaitu bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mewakili Pakatan Harapan (PH), calon muka baharu Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling, Nicholas Paul Vincent daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan calon bebas, Wang Wee Siong.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Julai sebagai hari pengundian bagi PRN Johor, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.