Calon BN mahu selesai isu kesesakan, naik taraf kemudahan awam di Puteri Wangsa
Iklan
Teow Chia Ling selepas proses penamaan calon PRN Johor bagi DUN Puteri Wangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Dato Onn pada Sabtu.
JOHOR BAHRU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Teow Chia Ling mahu memberi tumpuan kepada usaha menangani isu kesesakan lalu lintas, menaik taraf infrastruktur awam dan memperkukuh kemudahan kesihatan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, pengalaman berkhidmat selama empat tahun sebagai Ahli Majlis di kawasan membolehkan beliau memahami pelbagai isu yang dihadapi penduduk walaupun kawasan yang diselia sebelum ini tidak meliputi keseluruhan DUN Puteri Wangsa.
Iklan
Iklan
"Antara tumpuan utama yang perlu diberi perhatian segera ialah kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di beberapa lokasi tumpuan.
"Saya banyak melihat masalah di kawasan ini, terutama kesesakan jalan raya. Jadi antara sasaran saya adalah mencari jalan untuk mengurangkan kesesakan sama ada dengan membuka laluan baharu atau menyelaras sistem lampu isyarat.
Iklan
"Apa sahaja yang boleh dilakukan untuk membantu melancarkan aliran trafik akan saya usahakan demi keselesaan penduduk," katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRN Johor bagi DUN Puteri Wangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Dato Onn di sini pada Sabtu.
Selain itu, Chia Ling berkata, peningkatan jumlah penduduk di Puteri Wangsa memerlukan kemudahan awam yang lebih lengkap dan berkualiti.
Iklan
Katanya, terdapat beberapa kemudahan sedia ada yang sudah uzur selain kekurangan dewan berbumbung serta kawasan rekreasi yang sesuai untuk kegunaan masyarakat terutama anak muda.
"Kita perlukan lebih banyak kemudahan seperti dewan berbumbung untuk aktiviti sukan dan komuniti.
"Di samping itu, saya juga mahu memperjuangkan penambahbaikan kemudahan rekreasi termasuk menyediakan lebih banyak peralatan senaman di taman-taman awam khususnya untuk golongan warga emas," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan aspek perkhidmatan kesihatan sebagai antara keutamaan memandangkan jumlah penduduk yang ramai tidak seimbang dengan kemudahan kesihatan sedia ada.
Menurutnya, ketika ini hanya terdapat dua klinik kesihatan selain Hospital Sultan Ismail (HSI) yang sering menerima jumlah pesakit yang tinggi.
"Saya merancang untuk memperkukuhkan infrastruktur kesihatan termasuk mewujudkan klinik komuniti di kawasan-kawasan tertentu supaya penduduk lebih mudah mendapatkan rawatan asas tanpa perlu pergi jauh.
"Matlamat saya adalah memastikan penduduk DUN Puteri Wangsa dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa, aman dan harmoni dengan kemudahan yang mencukupi," katanya.
Chia Ling akan bertanding lima penjuru menentang calon Menteri Besar Johor dari Pakatan Harapan (PH), Dr. Maszlee Malik; calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) iaitu Ketua Pegawai Pusat Khidmat DUN Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied; Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama Malaysia) dan calon bebas, Wang Wee Siong, bagi merebut kerusi DUN Puteri Wangsa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Pada PRN Johor lalu, DUN Puteri Wangsa dimenangi Muda yang mempertaruhkan Presidennya, Amira Aisya. Abd. Aziz.
Amira Aisya menang persaingan enam penjuru dengan menerima 22,884 undi, sekaligus menewaskan pencabar terdekat daripada BN, Ng Yew Aik dengan majoriti 7,114 undi.
Keadaan itu didakwa semakin ketara ketika musim hujan apabila air sungai bertukar hitam, berbau busuk dan alirannya menjadi semakin tersekat akibat sungai yang semakin cetek dan sempit.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/793172/edisi/johor/sisa-binaan-singapura-cemari-sungai-nak-dapat-rm20-pun-susah---nelayan
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.