MUAR - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong sah menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dengan penyandang, Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada Perikatan Nasional (PN), berdepan cabaran daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Hisam Said mengisytiharkan proses penamaan calon yang berlangsung di pusat penamaan calon DUN Bukit Kepong ditutup tepat jam 10 pagi.
Beliau berkata, ketiga-tiga calon berjaya mengemukakan borang pencalonan mengikut tempoh ditetapkan tanpa sebarang bantahan atau penolakan.
"Sahruddin menyerahkan borang pencalonan pada jam 9 pagi, diikuti calon PH, C Subramani pada jam 9.07 pagi dan calon BN, Ahmad Syarie Yusof pada jam 9.12 pagi.
"Selepas semakan dibuat dan berpuas hati semua syarat dipenuhi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan ketiga-tiga calon layak bertanding," katanya.
Beliau turut mengumumkan nombor calon yang akan digunakan pada kertas undi iaitu C Subramani (PH) sebagai calon nombor satu, Ahmad Syarie (BN) nombor dua dan Dr Sahruddin (PN) nombor tiga.
Terdahulu, Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengiringi Sahruddin ke pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Pagoh manakala Timbalan Menteri Perpaduan Negara yang juga Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran mengiringi calon PH.
Kesemua calon memasuki dewan penamaan calon sekitar jam 8.50 pagi bagi proses penyerahan borang pencalonan.
Untuk rekod, pada PRN Johor 2022, Sahruddin yang memenangi kerusi DUN Bukit Kepong selepas memperoleh 9,873 undi, menewaskan calon BN, Ismail Mohamed yang meraih 9,163 undi dengan majoriti 710 undi.
Turut bertanding ketika itu ialah calon MUDA, Nur Afiqah M. Zulkifli yang memperoleh 3,076 undi dan calon Parti Pejuang Tanah Air, Md Taib Md. Suhut yang mendapat 191 undi.