PRN Melaka: Popular di media sosial tak jamin sokongan di lapangan - Helmy

Iklan
Helmy

MELAKA - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem tidak menganggap popularitinya di media sosial sebagai jaminan menang mudah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Melaka itu berkata, jumlah tanda suka atau like di media sosial tidak semestinya mencerminkan sokongan pengundi ketika hari mengundi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, persaingan pada PRN kali ini juga dijangka sengit apabila calon lawan turut menawarkan pelbagai inisiatif dan pendekatan bagi menarik perhatian pengundi.

“Like di media sosial tidak menjamin apa yang akan berlaku dari segi sokongan di lapangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Mohd Noor Helmy berkata, pihaknya akan terus berusaha memastikan rakyat memahami segala usaha yang telah dilaksanakan, selain memberi ruang kepada pengundi untuk membuat pilihan terhadap BN.

Mengulas hubungan baik dengan Ahli Parlimen DAP di kawasan itu bakal mempengaruhi sokonhan pengundi, beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya menjadi isu kerana ia merupakan tanggungjawab bersama membela nasib rakyat tanpa mengira perbezaan parti politik.

Iklan

“Orang Duyong ada hak terhadap peruntukan yang ada. Jadi, saya selalu ingatkan supaya perkara yang perlu dibuat itu dilaksanakan.

“Kalau ada masalah yang saya tidak boleh selesaikan di peringkat negeri, Ahli Parlimen boleh menyampaikannya di peringkat Persekutuan kerana beliau mempunyai peruntukan untuk membantu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Noor Helmy mengakui bakal calon PH, Poo Long Suan yang mempunyai pengalaman sebagai ahli majlis turut mempunyai kelebihan tersendiri dalam menawarkan khidmat kepada masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, mempunyai rekod pelaksanaan dan usaha yang boleh dinilai rakyat sepanjang tempoh berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Jangan lupa ketika saya mula-mula dahulu, saya juga bermula sebagai ahli majlis. Jadi, pastinya seseorang yang mempunyai pengalaman itu ada kekuatan untuk ditawarkan kepada masyarakat.

“Cuma, saya boleh menawarkan bukti dan janji yang telah dilaksanakan, manakala beliau juga boleh menunjukkan apa yang dilakukan sepanjang menjadi ahli majlis serta menawarkan perkara baharu.

“Jadi, biarlah rakyat menilai dari perspektif mana yang mereka mahu pilih. Saya tidak boleh mengatakan beliau kuat atau lemah kerana setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan menjelang minggu terakhir kempen, termasuk isu yang mungkin dibangkitkan pihak lawan.

Katanya, pelbagai perkara boleh berlaku pada saat akhir dan pihaknya akan terus bersiap sedia menghadapi cabaran sepanjang tempoh berkenaan.

“Saya tidak tahu apa isu yang akan dimainkan pada saat-saat akhir. Apa pun, kita bersedialah untuk menghadapi pilihan raya ini.

“Minggu terakhir ini macam-macam perkara boleh berlaku. Kadangkala cerita zaman sekolah pun mungkin timbul semula. Jadi, kita tunggu dan lihat,” katanya.

End