PUTRAJAYA – Pemergian Allahyarham Pegawai Bomba Kanan II (PBK II), Abu Zarin Hussin akibat dipatuk ular tedung selar ketika operasi pada 2018 menjadi bukti tugas menyelamat daripada ancaman haiwan berbisa bukan sekadar rutin biasa.
Di sebalik setiap panggilan kecemasan diterima, anggota Skuad King Cobra Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sanggup berdepan risiko kehilangan nyawa demi memastikan keselamatan masyarakat.
Ketua Jurulatih Skuad King Cobra JBPM, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I), Safiq Mohamad berkata, tragedi meragut nyawa rakan karibnya menjadi peringatan tahap kesiapsiagaan, kemahiran dan disiplin dalam setiap operasi.
Safiq, 33, mengakui pemergian Abu Zarin tidak mematahkan semangatnya untuk terus terlibat dalam operasi menangkap ular.
“Usaha menyebarkan ilmu serta menyelamatkan nyawa merupakan tanggungjawab yang perlu diteruskan,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Mengimbau kembali, minat Safiq terhadap bidang pengendalian ular bermula pada 2014 apabila memelihara beberapa spesies ular eksotik sebagai hobi sebelum menyertai Kursus Asas Pengendalian Haiwan Berbisa anjuran Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur.
“Setahun kemudian, saya bergelar jurulatih dan menjalankan khidmat menangkap ular di luar waktu bertugas,” katanya.
Menurutnya, antara spesies ular berbisa kerap dikendalikan termasuk ular tedung selar, senduk, ular hitam atau ular sembur, katam payung dan katam tebu.
“Semua spesies ini berbisa dan berpotensi menyebabkan kematian jika dipatuk,” katanya.
Katanya, selain itu, Skuad King Cobra ditubuhkan pada 2015 pernah mengendalikan ular sawa batik lebih 100 kilogram.
“Kebanyakan kes berlaku disebabkan kehadiran sumber makanan seperti biawak, tikus dan katak di sekitar rumah.
“Banyak kes ular tedung selar ditemui memburu biawak di bumbung rumah. Situasi ini sangat mencabar kerana anggota berdepan risiko terjatuh, siling runtuh dan ruang kerja sempit,” katanya.
Beliau berkata, walaupun tempoh purata sesuatu operasi antara 10 hingga 30 minit, terdapat kes mengambil masa sehingga tiga jam.
“Bagi memastikan keselamatan, setiap anggota terlibat perlu mengikuti kursus pengendalian haiwan berbisa.
“Peserta didedahkan kepada spesies ular, rawatan awal mangsa patukan dan teknik pengendalian yang betul,” katanya.
Prosedur operasi tangkapan ular
Menurut Safiq, sebaik menerima panggilan kecemasan, anggota akan mendapatkan maklumat awal berkaitan lokasi, jenis dan saiz ular bagi menentukan keperluan peralatan serta jumlah anggota.
“Pengadu dinasihatkan tidak melakukan sebarang provokasi terhadap ular, sentiasa berada pada jarak selamat serta mengawal kawasan sekitar sehingga ketibaan bomba.
“Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri untuk menangkap atau menghalau haiwan itu kerana tindakan berkenaan boleh meningkatkan risiko kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, operasi dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan JBPM dengan penggunaan peralatan khas seperti penjerut, pengepit, pencangkuk dan gelung pengumpan ular.
“Selepas ditangkap, ular akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) atau dilepaskan semula ke habitat yang sesuai, jauh dari kawasan penempatan manusia,” katanya.
Mengulas mengenai salah faham masyarakat, Safiq berkata, masih ramai mempercayai mitos semua ular berbisa mempunyai sifat takut kepada buluh.
“Tanggapan yang tidak tepat ini menyebabkan ramai individu mengalami ketakutan melampau terhadap reptilia berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat anggota bomba pernah mengalami kecederaan ketika operasi termasuk terkena semburan bisa ular hitam dan digigit ular sawa batik.
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa memastikan kawasan kediaman berada dalam keadaan bersih dan terurus bagi mengelakkan kehadiran sumber makanan yang boleh menarik perhatian ular,” katanya.